Wednesday, January 5, 2011

Respon terhadap isu Terminal Bersepadu Selatan


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada jam 8.15 malam tadi, Astro Awani membincangkan dengan panjang lebar tentang isu Terminal Bersepadu (ITT) Selatan di Bandar Tasik Selatan.

Antara yang menjadi topik perdebatan adalah mengenai Perintah daripada Datuk Halimah Mohd Sadique (Pengerusi LPKP) yang mengarahkan semua bas operator (bas ekspress ke Selatan) memulakan operasi di Terminal Bersepadu Selatan selewat-lewatnya 16 Januari 2011 ini atau bakal dikenakan tindakan.

Maka dalam perbincangan tadi saudara Razali Endun (wakil Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia) dan saudara Muhammad Zulkarnain Hamzah dari TRANSIT-Malaysia bersepakat menyatakan rasa tidak kepuashatian mereka terhadap caj yang bakal dikenakan oleh Maju Holdings terhadap bas–bas yang masuk ke terminal tersebut.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, projek Terminal Bersepadu (ITT) yang dibina di Bandar Tasik Selatan merupakan antara 3 ITT yang bakal dibina oleh kerajaan dalam mengambil alih peranan Hentian Puduraya.

Dua lagi ITT yang bakal dibina adalah di Gombak dan Kota Damansara yang mana pembinaannya bakal dilaksanakan penghujung tahun ini.

Tujuan Bandar Tasik Selatan dipilih sebagai lokasi terminal pengangkutan bersepadu adalah kerana kedudukan geografinya yang mudah diakses daripada Selatan yang mana ia juga berperanan mengelak bas–bas daripada Selatan ini memasuki Bandar (Baca:Puduraya).

Di samping itu juga, ia dipilih kerana lokasi ini mudah dicapai oleh pelbagai rangkaian mod pengangkutan yang sedia ada seperti LRT, Komuter, ERL dan teksi. Mengikut perancangan asal juga, sebaik sahaja terminal ini siap PRASARANA akan meningkatkan kekerapan basnya ke terminal tersebut.

Mengikut kertas dasar asal terminal ini, projek ini dimiliki oleh Kementerian Pengangkutan dan Kontraktor Turnkey nya adalah Maju Holding.

Manakala perundingnya pula dari KLIA Consultancy Services Sdn Bhd yang pernah terlibat secara langsung dalam mengurus Projek Pembangunan Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Dan apabila siap, Terminal Bersepadu ini akan diurus oleh PRASARANA selaku anak syarikat Minitsry of Finance.

Mengapa PRASARANA dan bukannya Maju Holding? Ini kerana mengikut dasarnya, Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) adalah sebuah syarikat milik penuh Kerajaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, bagi memudah, melaksana dan mempercepatkan projek infrastruktur yang telah diluluskan oleh kerajaan.

PRASARANA dan syarikat kumpulannya adalah pemilik dan pengendali kepada beberapa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Apa yang malangnya, dengan menggunakan kedudukan dan pengaruh politik, Maju Holding berjaya mendapatkan hak selaku pengendali terminal ini dan menafikan peranan PRASARANA yang turut terlibat sedari awal lagi dalam merancang pembangunan terminal ini.

Kesan daripada pelacuran ekonomi dan politik ini mengakibatkan pengusaha bas ekspress dan pengguna bakal dibebani kos yang meningkat. Pengusaha – pengusaha bas ekspress terpaksa melaksanakan ‘cross subsidy’ bagi membolehkan semua bas mereka bergerak atau mereka terpaksa berhadapan permit mereka ditarik balik.

Dan apabila Maju Holding cuba menangguk air keruh dalam industri pengangkutan ini, ia merupakan tindakan kurang ajar dan tidak berperi kemanusian.

Semua dari kita sedia maklum, industri pengangkutan awam bukan industri yang kaya. Sebagai contoh, kerajaan terpaksa mengeluarkan Billion ringgit untuk mengambil alih Syarikat Bas Intrakota, Putra LRT dan STAR LRT bagi memastikan rakyat tetap menikmati pengangkutan awam dengan harga yang mampu bayar.

Dan berapa billion lagi yang perlu kerajaan tanggung untuk berdepan dengan satu lagi kegagalan dek tangan – tangan yang rakus ini.

Di samping itu juga, LPKP dan SPAD yang sepatutnya berperanan sebagai payung yang mendasari pengangkutan awam negara, tidak berperanan dengan sewajarnya. Sehingga berita ini ditulis, Pengerusi SPAD tidak langsung bersuara dalam permasalahan ‘caj’ yang dikenakan oleh Maju Holding ini.

Hanya kelibat Pengerusi LPKP yang bersuara, itupun untuk memberi kata dua kepada ‘penguasaha bas eskpres’ ini.

Malah yang paling mengecewakan, mengikut sumber En Zaharin terminal ini tidak mempunyai CF daripada DBKL. Entah apa yang nak jadi dengan negara ini, apabila negara diurus dengan keadaan caca marba sehinggakan Menteri Kabinet langsung tidak punya kuasa dan melihat harta rakyat dirompak sebegitu sahaja.

Justeru itu, saya mendesak supaya operasi Terminal Bersepadu Selatan ini dikembalikan kepada PRASARANA supaya segala kos yang tidak perlu dapat dikurangkan dan pengusaha bas serta rakyat tidak akan terbeban dengan segala kos yang melampau. Di samping itu juga segala pencabulan undang – undang perlu disiasat bagi mengenal pasti bagaimana Maju Holding dipilih sebagai Pengendali Terminal Bersepadu ini seraya menafikan peranan PRASARANA selaku GLC Kerajaan.

Akhir kalam, sesungguhnya bumi yang kita diami sekarang bukanlah hak milik kita, tetapi kita hanya meminjam dari generasi akan datang. Oleh itu, janganlah kita menjadi tangan – tangan hantu yang merosakkannya.

MOHD IKHMAL BIN MOHD ISKANDAR (IKHQOI)
BBA(HONS)TRANSPORT, UiTM
Mantan Bendahari Sekretariat Pemuda Dun Selat Klang

Cerita Kelakar dari Negeri Darul Iman

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kata Ramli Nuh, si Adun Tepoh merangkap Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan Negeri, 500 kekosongan jawatan imam dan bilal tidak diisi. Jumlah itu melibatkan 488 masjid di seluruh negeri Terengganu. Itu kenyataan yang dikeluarkan akhbar bertarikh 8 November 2010.

Pelik juga, negeri yang punya ramai anak-anak muda lepasan Azhar, Kusza dan universiti dalam pengajian agama tetapi tidak mempunyai imam dan bilal. Sebelum ni heboh sangat tentang pembinaan masjid-masjid di Terengganu. Terpampang di billboard tentang beberapa buah masjid kononnya nak melambangkan UMNO Terengganu cakna pada agama.


Tapi itu bukan cerita kelakar lagi. Apa yang lebih kelakar lagi adalah keratan akhbar di bawah. Kerana ketiadaan bilal, ada masjid yang gunakan TV untuk melaungkan azan! Nak dikatakan kelakar sangat, ada juga timbul rasa sedih. Maklum sahaja, azan di TV tu menandakan masuk waktu bagi wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya. Apa kes plak Terengganu sama waktu dengan KL. Sedih sedih... Takkan azan pun nak 1Malaysia kot!

Itulah UMNO ni, bila dapat perintah balik Terengganu pada 2004 dulu, habis tok imam dan tok bilal masjid yang tak berapa sokong dia dipecat. Mereka ni rela masjid kosong dan tak berisi. Rela masjid senyap sunyi. Konon la masa tu laksanakan Islam Hadhari. Lening masjid senyap sunyi.

Sudah-sudahlah kepada penyokong UMNO / BN. Hentikanlah khurafat hanya UMNO sahaja boleh memerintah. PAS di Terengganu sudah buktikan kemakmuran dalam 4 tahun pemerintahan. Bukan setakat makmurnya masjid dan surau, malah pelaburan asing pun antara yang tertinggi. Doh nak gape lagi? Takkan dengan RM300 setahun kita nak lihat maksiat berleluasa, masjid jadi tugu sahaja!

Sudah tiba masa PAS ganti UMNO di Terengganu, Pakatan Rakyat ganti BN di Putrajaya.

sumber

Minta solat hajat, kami dah tak larat - Dr Halimah

SHAH ALAM, 6 Jan: Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini.

"Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."


Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.


"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

harakah

NAMA 2 BLOG DALAM LAPORAN POLIS !



Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Tv Selangor petang ini berkata, Rais berhak membuat penafian namun ia harus disusuli dengan tindakan bagi membuktikan penafian itu berasas.

"Persoalan dia hendak nafi atau tidak, itu persoalan lain. Itu terpulang pada dia. Baguslah dia nafi. Selama ini dia senyap sahaja dan tidak nafi. Najib pun nafi dia tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Masuk dalam mahkamah, penagih dadah pun sanggup bersumpah tidak mengambil dadah, itu benda biasa," ujar Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Pagi tadi, Badrul tampil membuat laporan polis bagi menggesa satu siasatan dilakukan terhadap Rais yang didakwa merogol pembantu rumahnya.

Menurutnya beliau, pelbagai bukti dan pendedahan yang dilakukan blog dan NGO seperti Migrant Care yang berpengkalan di Jakarta menjadikan impak kes ini besar apatah lagi ia melibatkan seorang Menteri Kabinet.

Malah apa yang lebih merunsingkan katanya, hubungan Malaysia dan Indonesia yang mudah terbakar sentimennya mutakhir ini, harus segera dipulihkan.

"Justeru itu kita hendak polis siasat. Polis siasat dan polis harus umum Dr Rais tidak terlibat, beliau bersih dan ini hanya fitnah. Kalau ini berlaku, Dr Rais harus mengambil tindakan terhadap laporan tersebut," tambahnya lagi.

Dakwaan merogol yang melibatkan bekas Menteri Kehakiman dan Undang-undang ini dikatakan berlaku pada 2007 dan ia didedahkan semula oleh laman wikileaks dan laman blog seantero Malaysia.

Ketika memegang jawatan itu, Rais pernah mendedahkan 18 kes berprofil tinggi yang sengaja disenyapkan pihak tertentu.

Diminta mengulas kenyataan Rais bahawa dakwaan rogol itu sengaja dimainkan oleh bloger dan pembangkang, Badrul berkata, Rais harus terlebih dahulu membersihkan imejnya yang tercemar berikutan tersebarnya laporan yang mengaitkan beliau dengan skandal terbabit.

"DS Rais harus tampil untuk membersihkan dirinya dengan mencabar kesahihan laporan tersebut, bukan sekadar bercakap di media-media yang dia kuasai. DS Rais harus tampil memulakan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sekadar bercakap dan berkokok di dalam negara," jelas Ketua Cabang Rembau itu.

Selain tindakan polis, Badrul juga turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menggantung Rais sebagai anggota Kabinet sehingga siasatan dilakukan.

"DS Rais harus tampil untuk membersihkan dirinya dengan mencabar kesahihan laporan tersebut, bukan sekadar bercakap di media-media yang dia kuasai. Rais harus tampil memulakan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sekadar bercakap dan berkokok di dalam negara," jelas Ketua Cabang Rembau itu.

Sunday, January 2, 2011

Khusrin dah mula kerja dah..tunggu kelibatnya nanti






SHAH ALAM, 3 Jan — Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.


Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

“Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi.

“Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Namun ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khusrin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen perhubung tugas baru beliau.

“Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan.

“Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas.

“Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar,” kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.


The Malaysian Insider

Saturday, January 1, 2011

Sudah jijik undi BN

Saya sebagai pengundi berdaftar dengan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) sudah rasa jijik untuk undi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum atau kecil kerana parti itu dibarisi ramai pemimpin yang tidak bersih, akhlak buruk, kaki rasuah, kaki betina yang boleh menjeaskan imej negara dan bolehkan menjadi negara ini bankrap.

Mereka yang menjadi bapak menteri tidak tahu penderitaan rakyat dengan kenaikan harga barang, sebaliknya mereka membazirkan wang rakyat kepada perkara perkara tidak berfaedah.

Rasa rasa terpanggil untuk merayu kepada pengundi pada pilihan raya baik pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, supaya memberhentikan tindakan mereka mengundi BN cubalah kepada parti yang berteraskan Islam supaya kerajaan yang akan dibentuk kelak dibarisi pemimpin yang bersih, beriman, jujur, amanah dan berkahlak mulia.

Pemimpin yang dikehendaki ialah yang berperikemanusiaan, membela nasib rakyat serta tahu dosa pahala terhadap rasuah, berzina, melakukan maksiat, merogol seperti cerita yang digembar gemburkan kebelakangan ini.

Pemimpin yang dikehendaki ialah pemimpin yang tidak menggunakan wang rakyat sesuka hati seperti wangnya sendiri, sedang rakyat masih ramai yang menderita dengan dibebani pelbagai masalah, termasuk terpaksa bayar hasil, cukai, saman polis dan sebagainya.

Kalau negara ini ada pemimpin yang berakhlak mulia, alim, dan tahu dosa pahala, mereka tidak akn guna wang kerajaan dengan sewenangnya, menolak rasuah kerana tahu akibatnya dan balasan Allah terhadap seorang yang menerima rasuah.

Saya sering dengan cerita daripada bapa mentua saya yang juga penggali kubur serta selalu mengusung orang mati ke kubur di kampungnya.

Menurutnya, sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasai jenazah seorang anngota polis yang diusungnya untuk di bawa ke tanah peberkahwin di ka,pung itu begitu berat sekali hingga terpaksa banyak kali bertukar orang yang mengusungnya.

Bapa mentua saya mengandaikan ini mungkin kerana dia menerima rasuah ketika bertugas sebagai anggota polis menyebabkan jenazahnya terlalu berat untuk diusung penduduk kampung ke kubur dan begitu juga ketika hendak menurunkan jenazah itu ke dalam kubur hingga runtuh tebing kubur yang digali itu.

Dia memberitahu dia tidak pernah berjumpa jenazah seberat itu yang diusungnya secara sukarela apabila ada penduduk kampungnya yang meninggal dunia.

Jadi beringatlah mereka yang menerima rasuah, jangan sampai perkara yang sama menimpa diri anda, rakan keluarga juga pemimpin negara dan negeri

Mengenai pengundi pilihan raya, satu ketika dulu saya pernah mengundi BN, tetapi disebabkan berlaku perkara yang tidak dingini, seperti pembunuhan, rogol, rasuah serta mementingkan kekayaan peribadi dilakukan pemimpin yang dihormati, sejak itu saya bertukar mengundi PAS iaitu sejak PAS bergabung dengan Parti Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.

Kalau rakyat terus mengundi BN bermakna rakyat merestui dan membiarkan gejala yang tidak sihat tadi dilakukan pemimpin yang dipilih memerintah negara.

Cubalah bertukar sekali sebagaimana rakyat Kelantan menerima baik kepemimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah negeri Serambi Makkah itu. Saya juga berharap rakyat Selangor, Kedah, Pulau Pinang kekalkan pemerintah yang ada kerana terbukti sudah melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya walaupun baru setahun memerintah.

Saya yakin kehidupan rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang akan bertambah baik jika pemimpin yang memerintah negeri berkenaan terus dikekalkan.

Mohamed Noor Jaafar,
Kuala Lumpur.

Friday, December 31, 2010

2010 Tinggal Kenangan !


Ketika hari-hari terakhir 2010, WikiLeaks, Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) dan perlantikkan Datuk Mohd Khusrin Munawi dilihat seolah-olah sebagai isu penutup 2010 yang hangat diperdebatkan oleh BN dan PR.

Semenjak Pilihan Raya Umum ke 12, politik negara ini tidak pernah berhenti bergelora dengan serangan demi serangan antara kedua-dua belah pihak samada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR). Keadaan ini berlarutan hinggalah tatkala 2009 melabuhkan tirai dan fajar 2010 menjelang tiba.

Bagaimanapun, dalam kekalutan politik, masih ada yang wajar diraikan bersama oleh kedua-dua pihak bertelagah di penghujungnya apabila wira-wirawati sukan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan negara.

Antaranya Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicole Ann David (squash), pasukan hoki negara, terkini skuad kebangsaan bola sepak dan banyak lagi.

Ketika 2010 mula menjengah, isu penghujung 2009 kehilangan dua enjin pesawat pemintas TUDM, F-5E masih lagi panas dan mendapat tempat di media-media utama ketika itu.

Disamping itu, kedatangan tahun baru 2010 turut 'diraikan' serentak dengan pengumuman kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Isu yang turut mendapat liputan meluas oleh media-media tahun ini ialah isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dan masyarakat Kristian negara ini.

Isu hangat ini menjadi bertambah burukkan keadaan lagi apabila wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab membakar beberapa rumah ibadat di seluruh negara.

Isu lain menyentuh soal agama yang turut berputar ligat sepanjang tahun 2010 ialah antaranya isu peguam syariah di kalangan bukan muslim, Syiah di Malaysia dan kes mengajar agama tanpa tauliah yang dihadapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu baru-baru ini arahan pejabat perdana menteri supaya membuang elemen keagamaan daripada satu majlis sambutan Krismas yang dihadirinya di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur juga telah menimbulkan bantahan beberapa pihak.

Dalam isu berkaitan keagamaan, ia dihangatkan lagi apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu setelah menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah surau di Kajang.

Sementara itu dalam isu membabitkan sentimen perkauman, sehingga 3 Febuari sekurang-kurangnya 12 laporan polis telah dibuat gara-gara keceluparan pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung ucapan beliau dalam seminar 1Malaysia di Melaka yang berbau perkauman.

Isu pasir di Selangor antara isu yang mendapat perhatian khususnya media arus perdana. Rentetan isu yang semakin panas ini, pada 20 Januari, SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed telah menahan sekurang-kurangnya 38 orang termasuk 24 kakitangan kerajaan dan dua pembantu politik di seluruh negara.

Perdebatan isu ketuanan Melayu Umno dan ketuanan rakyat PR juga merupakan isu yang terus menjadi 'buah pukulan' baik dari pihak BN mahupun PR di sepanjang tahun 2010 ini.

Kes liwat 2 yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim turut mendapat liputan meluas dalam dan luar negara. Kes ini turut telah menarik perhatian ahli parlimen dan anggota senat negara luar.

Tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan juga mendapat tempat oleh pengamal media sepanjang 2010. Dalam isu tersebut, pemimpin senior Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memilih untuk menyebelahi Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS.

Perjalanan Inkues kematian Teoh Beng Hock yang menambah burukkan lagi wibawa SPRM dan Kerajaan Malaysia juga mendapat menjadi tumpuan masyarakat pada tahun ini.

Turut mencuri perhatian, apabila fenomena lompat parti oleh ahli parlimen dan ADUN PKR masih gagal dibendung oleh pemimpin parti itu sekaligus mencemarkan imej parti itu dan secara tidak langsung memberi kredit kepada BN.

Selain Zulkifli Noordin yang dipecat oleh PKR, Ahli Parlimen dan ADUN PKR lain ialah Datuk Salehuddin Hashim, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Mohammad Fairus Khairuddin, Tan Tee Beng, Wee Choo Keong.

Menteri Besar yang disingkirkan pula, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Febuari yang mengesahkan penyingkiran beliau mungkin akan mengakibatkan situasi monarki mutlak di Malaysia.

Menambahkan kehangatan tahun 2010, apabila Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilihat telah mencapai penghujung karier politiknya berjaya membuat 'come back' dengan bergaya apabila memenangi jawatan presiden MCA.

Chua telah berjaya menewaskan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA pada 28 Mac lalu.

Umum melihat senario politik 2010 kembali memihak kepada BN apabila pada 25 April, calon Barisan Nasional P Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

BN yang mula tampak selesa setelah memenangi PRK Hulu Selangor, menerima tamparan apabila kerusi Parlimen Sibu berjaya dirampas oleh calon DAP, Wong Ho Leng yang menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan calon bebas Narawi Haron dalam PRK parlimen itu pada 16 Mei lalu.

Bagaimanapun BN menemui semula sentuhan untuk menyekat kemaraan PR apabila memenangi dua kerusi dalam dua PRK yang diadakan serentak 4 Oktober lalu di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 manakala Datin Linda Tsen bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.

Sepertimana kelaziman dalam pilihan raya yang di adakan dalam negara ini, kotroversi yang melibatkan dakwaan rasuah politik, ketelusan dan undi pos masih bermain-main dalam setiap PRK yang dijalankan ini.

Pemilihan Pimpinan PKR antara isu yang mendapat liputan meluas dari media perdana dan juga alternatif. Pemilihan tersebut pada awalnya menjadi kebanggaan parti itu kerana merupakan satu-satu parti politik yang memberikan hak memilih pemimpin kepada ahli akar umbi.

Bagaimanapun kebanggaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada PKR apabila didakwa banyak penyelewengan telah berlaku bermula daripada proses pencalonan lagi.

Akibat merasa tertipu, calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim telah bertindak keluar parti dan kini menyertai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebelum ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dengan jawatan Presiden parti itu.

Walaupun musim pemilihan PKR telah lama berakhir, namun kemelut berhubung aduan-aduan yang diterima parti sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh pemimpin-peminpin PKR.

Turut menerima sasaran kritikan sepanjang 2010 ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan penglibatan aktifnya yang dianggap membazirkan wang negara dan menganggu urusan pentadbiran kerajaan.

Bekas Menteri Besar Selangor pula, antara personaliti yang boleh dianggap sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditahan atas dakwaan rasuah yang melibatkan kediamannya yang bernilai jutaan ringgit.

Pada 16 Disember, empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan gara-gara mengaitkan APCO, 1Israel dan 1Malaysia.

Mereka yang dikenakan tindakan penggantungan itu ialah, Ketua Pembangkang,

Datuk Seri Anwar Ibrahim(PKR), Karpal Singh (DAP), S.Sivarasa (PKR) dan Azmin Ali (PKR).

Pendedahan WikiLeaks menghangatkan lagi suhu politik hujung tahun dalam negara ini apabila beberapa komunikasi sulit pemimpin dunia terdedah untuk tatapan umum.

Antara isu yang terjebak ialah kes liwat Anwar Ibrahim, kes pembunuhan Altantuya dan yang paling mengejutkan ialah dakwaan terhadap seorang menteri yang merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 tetapi tiada tindakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Walaupun sehingga hari ini belum ada mana-mana media menyebut dengan jelas nama menteri terbabit, umum telah mengetahui indentiti menteri berkenaan melalui klu yang banyak di paparkan di media-media alternatif.

Ketika 2010 hampir melabuhkan tirainya, PR telah sempat menembak peluru terakhirnya apabila mengumumkan rancangan 100 hari pemerintahan PR dalam buku jingga yang dilancarkannya.

Sedikit sebanyak tindakkan PR ini dianggap mampu membuatkan pemimpin BN berada di dalam keadaan yang merimaskan dan memeningkan kepala.

Pertikaian antara kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR dengan kerajaan pusat juga masih tidak berpenghujung apabila kerajaan pusat didakwa tidak menghormati semangat federalisme.

Terbaru, kontroversi perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mendapat bantahan Kerajaan Negeri Selangor mula berlegar-legar di penghujung 2010.

Isu sepanjang 2010 yang tentunya mendapat perhatian rakyat negara ini ialah siri kenaikan harga barangan keperluan sepanjang 2010 yang semakin meningkatkan kos sara hidup rakyat negara ini dan menyebabkan tekanan hidup yang semakin memuncak.

Akhirnya dalam tekanan keperluan hidup dan pertarungan politik yang tiada kesudahan antara BN dan PR, tiba-tiba anak-anak buah K Rajagopal telah menghadiahkan sesuatu yang wajar diraikan bersama oleh semua rakyat negara ini.

Kelmarin, skuad bola sepak negara membolehkan rakyat negara ini menutup tirai 2010 dengan perasaan bangga dan tersenyum apabila anak-anak muda ini berjaya membawa pulang kejuaraan Piala AFF Suzuki setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Malahan pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyarankan dua pemimpin utama parti bertelagah BN, Najib Razak dan PR, Anwar Ibrahim bersatu untuk menyambut kepulangan wira-wira muda negara itu petang semalam.

Menurut pemimpin pertubuhan itu, Badrul Hisham Shaharin, SAMM sendiri akan menggerakkan anggotanya untuk menyertai sambutan kepulangan skuad bola sepak negara itu.

Memetik blog Anwar Ibrahim pula, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad bola sepak negara itu sambil berkata kejayaan tersebut semuga membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011.

Berita gembira ini turut disusuli oleh pengumumkan PM Najib Razak yang mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum sempena menyambut kegemilangan sukan bola sepak negara.

Wednesday, December 29, 2010

PAS tak akan biarkan Umno BN rampas Kedah

ALOR SETAR, 30 Dis: Biarpun adanya perubahan pada pucuk kepimpinan Umno negeri di Kedah, ia tidak akan memberi apa-apa impak terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS selama ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kedah yang baru, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berikrar untuk merampas semula pemerintahan negeri dalam pilihan raya umum yang akan datang, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalu-alukan hasrat murni pemimpin Umno tersebut.

"Hasrat dan cita-cita beliau itu adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, sekiranya pimpinan baru yang dilantik menerajui kepimpinan tidak dapat membuat reformasi yang lebih efektif dari kepimpinan terdahulu, maka adalah lebih baik teraju sebelum ini dikekalkan.

"Walau apa pun aspirasi mereka, PAS tidak akan sekali-kali memberi peluang kepada Umno untuk meneruskan hasrat mereka untuk mencapainya dengan jalan yang mudah. Siapa saja yang menjadi pesaing kepada parti lawan, kita akan terus berjuang tanpa menyerah kalah kepada mereka," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Bashah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata menggantikan Datuk Seri Shafie Afdal sebagai Pengerusi Umno Kedah.

Rombakan yang dibuat itu juga sebagai salah satu alternatif Umno bagi menguatkan barisan kepimpinan negeri yang terdiri dari pemimpin tempatan menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.

harakah

Tuesday, December 28, 2010

Sultan cuti, kemelut lantikan SUK mungkin berlarutan



KUALA LUMPUR, 29 Dis — Kemelut berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat akan berpanjangan dengan hasrat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menghadap Sultan Selangor hari ini terpaksa ditangguh kerana baginda sedang bercuti.

Laporan media memetik Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah bercuti sejak minggu lalu.

“Untuk makluman, Tuanku sekarang sedang bercuti dan kembali ke istana pada 3 Januari ini.

“Jadi soal Menteri Besar hendak menghadap hari ini tiada sebab pelantikan itu OK dan tiada masalah,” kata laporan Sinar Harian.

Kenyataan Pejabat Menteri Besar kelmarin menyebut Khalid bercadang menghadap Sultan Selangor hari ini.

“Jadi jika ada sebarang pertemuan dengan baginda, ia hanya akan berlangsung selepas itu,” kata beliau dipetik Umno Online.

Munir juga dipetik berkata, dalam perlembagaan negeri Selangor tidak ada peruntukan yang menyatakan mesti dapat cadangan dari Menteri Besar.

“Pelantikan memang dari JPA dengan suruhanjaya berkenaan, ini kena dapat perkenan Tuanku sebab kuasa eksekutif negeri ada hak Tuanku,” kata beliau.

Menurut Munir, beliau telah menyembahkan kepada Sultan Sharafuddin mengenai permintaan Khalid untuk menghadap baginda.

“Tetapi surat Menteri Besar (untuk menghadap) itu dihantar lambat,” katanya.

“Jadi mungkin Khalid boleh menghadap selepas itu,” kata beliau.

Tambah Munir, surat mempersembahkan nama tiga calon SUK juga hanya diterima selepas Sultan Selangor memberi perkenan atas pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Kelmarin, Sekretariat Akhbar Menteri Besar mengeluarkan kenyataan bahawa Khalid akan menghadap Sultan Selangor berhubung pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Khalid akan menyembahkan kepada baginda yang pelantikan Khusrin yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor tidak dimaklumkan kepada beliau.

Kenyataan itu turut memberitahu, oleh kerana perkara itu di luar pengetahuan Khalid, maka pelantikan Khusrin bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud dianggap belum muktamad.

Pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara menerusi satu kenyataan kelmarin.

Susulan pengumuman itu Pejabat Menteri Besar berkata pelantikan Khusrin belum muktamad tetapi Murni menegaskan ia sudah muktamad.

MI

Hormati Kerajaan Negeri

Hormati Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat

1. Politik Negeri Selangor kembali menarik perhatian umum berikutan isu perlantikan Khusrin dari JAIS ke jawatan barunya sebagai SUK Negeri Selangor . Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan YAB Menteri Besar akan mohon mengadap Kebawah Duli Sultan untuk membincangkan isu ini , suka saya tegaskan bahawa pandangan Kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah Kerajaan yang stabil.

2. Biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak se"ideologi" dengan Kerajaan pusat , namun kerajaan negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya .

3. Sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana - mana kerajaan negeri yang lain tidak di"ganggu" apalagi cuba diguling semata - mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan. Gangguan dan tekanan yang sering dikenakan kepada kerajaan - kerajaan negeri seperti Selangor , Kedah , Penang dan Kelantan sangat bertentangan dengan semangat federalisme dan ia jelas pula bertentangan dengan prinsip demokrasi .

4. Pengumuman KSN dalam isu perlantikan Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor tanpa terlebih dahulu mengambil kira pandangan dan kehendak kerajaan negeri adalah suatu yang tidak harmonis dan sewajarnya tidak berlaku demikian justeru apa yang berlaku ini boleh mencetus spekulasi dan ianya dinilai oleh umum sebagai satu "hidden agenda" untuk melemah dan menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Selangor. [ Jawatan SUK ialah jawatan nombor satu dalam perkhidmatan awam di sesebuah negeri. SUK juga secara automatik menjadi ahli ex officio kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ]

5. SUK yang dilantik sayugianya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri terutama ketua kerajaannya iaitu Menteri Besar agar pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri berjalan lancar dan efektif. Namun realiti yang berlaku di Selangor , Khusrin adalah individu yang sering mencetus kontraversi dan mengganggu kestabilan kerajaan negeri. Apakah kerana tersimpan agenda tertentu apabila Putrajaya dilihat beria - ia benar menabalkankan Khusrin sebagai SUK Selangor ?

6. Sungguhpun SUK Selangor adalah terdiri dari pegawai PTD yang juga merupakan kakitangan Persekutuan , tetapi tidak bolehkah kerajaan negeri terlebih dahulu dirundingi ? kemana perginya semangat federalisme yang didokong selama ini ? apakah kerana Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat maka demokrasi diketepikan dan semangat federalisme dikesampingkan ?

7. Saya sangat tidak senang malah tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Tidak profesional , tidak demokratik dan tidak menghormati semangat federalisme. Ia dilihat seperti cubaan untuk membuli kerajaan negeri Selangor. Ini tindakan yang tidak baik !

8. Saya berharap rundingan YAB Menteri Besar dengan pihak Sultan akan membawa keputusan yang positif demi kestabilan kerajaan negeri malah jua demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor amnya.Justeru konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini membina hubungan yang baik antara Menteri Besar dan Yang Mulia Sultan sementara tindakan Sultan pula berasaskan nasihat dari Menteri Besar.

Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda

Pemuda telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dan sedia berjuang bagi memenangi kerusi DUN Tenang biarpun menyedari laluan sukar terpaksa dihadapi. Namun Pemuda Pakatan Rakyat akan memaksimumkan gerakkerja penerangan dan aktiviti kepemudaan guna memenangi hati pengundi agar memihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil DUN Tenang kelak .

Peluang untuk menang senantiasa terbuka dan kita mengharapkan pertolongan dari Allah swt agar kejayaan menjadi milik kita di DUN Tenang nanti justeru DUN Johor sangat memerlukan suara dari Pakatan Rakyat untuk check and balance terutama pada setiap kali sidang DUN .

Insyaallah , Pemuda Pakatan Rakyat akan menurunkan sekurang - kurangnya 1500 orang jentera utama di majlis pelancaran jentera pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat yang akan berlangsung pada 1 January 2011 bersamaan 26 Muharram 1432 . [ sabtu ]

Majlis pelancaran ini akan disempurnakan oleh Yb Tuan Hj Salahudin Ayub [ naib Presiden PAS ] pada jam 5 petang di Perkarangan Markjaz Operasi Pemuda PAS di No 1A jalan Segamat Pekan Tenang .

Ceramah motivasi gerakkerja sebelum perasmian akan disampaikan oleh Ketua DPP Malaysia ybhg Tuan Haji Nasrudin Hassan Tantawi , Ketua AMK Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua DAPsy Yb Anthony Loke .

Semua dijemput hadhir .

Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi

Monday, December 27, 2010

PAS sebagai Harakah Islamiyyah: Peranan dan tuntutan


Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;

1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan maksud gerakan Islam dan peranannya secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.

2 – Saudara akan melihat peranan gerakan Islam yang lebih luas yang melangkaui maksud dan peranan sebuah pertubuhan politik atau pertubuhan – pertubuhan lain yang menggambarkan kesempurnaan dakwah Islam.

3 – Saudara perlu tahu kedudukan PAS sebagai gerakan politik dan dakwah.

4 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.

Pengenalan

PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.

Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.

Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.

Kertas ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.

Maksud Harakah Islamiyah

Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamaie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.

Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.

Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105

Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.

Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama’ al sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.

Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.

Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.

Maksud firman Allah; “Dan tidaklah Allah akan mensia –siakan iman kamu (amalan kamu). Sesungguhnya Allah amat pengasih lagi penyayang terhadap manusia.” – al Baqarah: 143

Lihat juga al zalzalah: 7,8 dan Aali Imran: 195

Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun ugama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.

‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan keabaran’.

Adapun realiti, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar idak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk.

Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang berperang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun seolah – olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” – al Shaff:4

Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti. Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.

Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?

Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.

Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;

Pertama, PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.

Kedua, PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.

Ketiga, dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.

Keempat, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.

Kelima, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.

Keenam, Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.

Peranan Harakah Islamiyah

Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.

Maksud tajdid;

Tajdid al din adalah satu istilah nabawy daripada hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam sendiri: “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang (man) akan memperbaharui (tajdid) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.

Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.

Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti (waqiey) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.

Apakah yang perlu ditajdidkan?

Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama;

Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.

Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.

Ketiga, membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka ( non muslim ) memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan bebas daripada ikatan - ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.

Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.

Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah

Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.

Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.

Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.

Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.

Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.

Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.

Empat Yang Utama

Dr Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;

Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyah, fiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.

Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.

Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.

Penutup

PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.

Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.

Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;

1 – Gerakan Islam adalah sebuah gerakan ke arah Islam yang sempurna dan menyeluruh sebagaimana dendangan dan tuntutan al Quran dan al Hadis.

2 – Gerakan Islam saling bersatu di seluruh dunia demi mencapai matlamat Islam membina khilafah Islamiyah yang unggul.

3 – Kepentingan tajdid Islami di dalam menyempurnakan proses pembinaan harakah dan pencapaian matlamat.

4 – Memahami politik Islam dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam.

5 – Memahami keutamaan kerja, pengagihan tugas dan penumpuan dan kepakaran demi kesan dan hasil yang sempurna dan menyeluruh.

Panel:

1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi

2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor

5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood

6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud

7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan

8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre


SUMBER: Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi

Dakwah bukan Islam




KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan kepada pemimpin agama seperti ustaz dan ulama di negara ini agar tidak mengasingkan masyarakat bukan Islam seperti kaum Cina ketika berdakwah.

Menurutnya, pendekatan Pas untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR) dan menolak konsep Perpaduan Melayu yang dilaungkan oleh Barisan Nasional (BN) adalah kerana ingin menyebarkan agama Islam kepada semua kaum di negara ini.

“Sebelum ini kita hanya mengajar Islam kepada Melayu sahaja, ini tidak sihat, seakan-akan Cina ini makhluk lain.

"Dengan adanya perjuangan politik Pas, kita akan dekatkan masyarakat Cina dan kaum lain kepada Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Konvokesyen Pelajar-Pelajar Tahfiz al-Quran, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW membawa masuk masyarakat bukan Islam ke dalam masjid supaya mereka dapat memahami agama ini dengan lebih dekat.

Menurutnya, sama ada mereka menerima atau tidak perjuangan yang dibawa Islam tidak menjadi persoalan, kerana tanggungjawab sebenar sebagai individu Islam adalah menerangkan perjuangan sebenar agama suci ini.

TG Nik Aziz berkata, beliau sedia menerima jemputan bagi menghadiri majlis masyarakat bukan Islam selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

“Baru-baru ini ada sami berkunjung ke rumah untuk menjemput saya bagi menghadiri majlis kahwin, saya kata kepada beliau, upacara agama (majlis kahwin) anak kamu jangan buat di hadapan saya, tetapi saya boleh hadir untuk meramaikan majlis, itu tidak mengapa,” katanya.

SH

UPSR 2010: Non-Muslim Turut Terima Penghargaan ADUN Sura

DUNGUN 28 Disember, Selasa - Tanpa mengira agama dan bangsa, keraian kepada para pelajar yang berjaya dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini terus gigih dilakukan oleh ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.

Dalam jadual sumbangan sempena kejayaan peperiksaan UPSR ini, terkini di Kampung Bunga Raya, seramai enam orang telah dikenalpasti sebagai pelajar cemerlang.



Dua orang daripadanya ialah adik Staalemond Ong Teck Keith (6A - gambar atas, diperhatikan ibunya di Taman Himiran) dan adik Rachel Lo Xin Hee (7A) dari Sekolah Jenis Kebangsaan ( C ) Kwang Hwa.


Seorang dari Sekolah Kebangsaan Sultan Omar, iaitu adik Siti Nur Syahira bt Othman (gambar, diperhatikan bapanya Encik Othman bin Mohamed).

Sementara tiga orang daripada Sekolah Kebangsaan Sura, iaitu adik Nursyahirah bt Zulkifli, adik Syazalia bt Che Suhaimin dan adik Muhammad Syakur bin Mohd Sabri.

ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun diringi Setiausaha PAS Cawangan Bunga Raya, Haji Che Razlan Omar semasa sumbangan penghargaan ini dilakukan pada petang 26 Disember, Ahad.

ehsan dari Ababil Dun Sura

Keputusan muktamad



SHAH ALAM – Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menegaskan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah muktamad.

Menurutnya, keputusan itu dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Pada pandangan saya, keputusan itu ‘confirm’ kerana Tuanku telah berkenan melantik beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas kenyataan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor mengenai cadangan pelantikan Mohd Khusrin oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibarhim.

Mohamad Munir berkata, dalam Perlembagaan Negeri Selangor, kuasa pelantikan itu dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

SH

Felda: Patutlah usaha perangi rasuah gagal


KUALA LUMPUR, 28 Dis: Perlantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda menggambarkan watak sebenar Datuk Seri Najib Razak dalam memerangi rasuah.

“Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris ahmad.

Beliau berkata, pemilihan itu seolah-olah Najib tidak nampak di kalangan ahli Umno seramai 3.5 juta orang, melainkan hanya nampak insan yang bernama Isa Samad sahaja.

“Apa rahsianya beliau dipilih, hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, ujarnya menyifatkan perlantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diuar-uarkan oleh yang dilancarkan pada 20 Januari 2010.

Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“PAS merasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail,” katanya lagi.

Isa telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah itu telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap setiausaha politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun 2004.

Idris berkata, Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu, ujarnya membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

“Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah,” ujarnya.

Katanya, Walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


harakah

Perbadanan baru tak mampu lindungi nasib Kg Baru, kata Lo’ Lo’


Gambar fail Dr Lo' Lo' Ghazali

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Ahli Parlimen Tititwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali menyifatkan langkah kerajaan pusat membubarkan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, dijangka pertengahan tahun depan, akan menyebabkan tanah di kawasan itu secara automatik akan dimiliki bukan Melayu.

Dalam Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010, MAS dilihat tidak mempunyai sebarang kuasa atau kedudukan khas untuk mentadbir kawasan Kampung Baru seperti yang badan pentadbir itu lakukan sejak 110 tahun lalu.

Ketika memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pertengahan bulan ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik berkata, MAS akan dilantik sebagai Majlis Penasihat perbadanan itu yang akan dilaksanakan Julai depan.

Rang undang-undang baru itu telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu dan pada hari yang sama diberikan taklimat kepada sebahagian pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Menurut Dr Lo’ Lo’ (gambar), pembubaran MAS akan menyebabkan nasib orang Melayu di Kampung Baru akan terjejas memandangkan tiada badan yang akan bertindak melindungi hak mereka.

“Tiga fakta penting mengenai akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010, yang pertama pembatalan dan pembubaran MAS bermakna tanah Kampung Baru terbuka untuk dimiliki oleh orang-orang bukan Melayu.

“Kedua penubuhan Majlis Penasihat (15 ahli) yang diwakili penduduk Kampung Baru tidak mempunyai sebarang makna kerana perbadanan tidak terikat untuk mengikut atau cadangan penduduk.

“Ketiga perbadanan adalah kebal di sini undang-undang dan keputusan mereka tidak boleh dicabar mana-mana mahkamah di Malaysia,” katanya dalam laman sosial Facebook.

Justeru, Dr Lo’ Lo’ mencadangkan supaya MAS dinaik taraf menjadi Badan Amanah Kampung Baru yang bertindak sebagai penjaga pegangan hartanah dan pemilik-pemilik bukan dimansuhkan.

“Rang undang-undang ini juga mesti dipinda supaya tidak kebal dan menindas penduduk Kampung Baru.

“Akta yang melindungi hartanah orang Melayu sejak beratus tahun sejak zaman British nak dihapuskan begitu sahaja oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Ketuanan Melayu hanya retorik dan jaga kepentingan Umno sahaja, kita mahu ketuanan rakyat yang berpaksikan Islam,” katanya.

Ketika lawatan ke Kampung Baru awal Februari lalu, Najib mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru, yang antara lain akan memastikan penduduk dan pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Beliau berkata, di bawah kaedah pembangunan itu kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru hanya selepas mendapat persetujuan mereka.

Katanya, nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan itu yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.

Isu pembangunan Kampung Baru kini dilihat semakin sukar untuk dilaksanakan selepas beberapa pihak termasuk pengurusan MAS sendiri mempertikaikan ketelusan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

The Malaysian Insider difahamkan, berdasarkan penerangan yang dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tempoh hari, ia tidak menepati syor dan cadangan dikemukakan ketika perjumpaan yang diadakan di Melaka Oktober lalu.

Menurut sumber, draf rang undang-undang yang diserahkan kepada pengurusan MAS tidak sama dengan apa yang dibincangkan.

“Memang kita tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu kerana selepas melihat semula salinan draf yang diserahkan kepada kita, saya dapati ia berbeza.

“Cadangan yang kita kemukakan dalam bengkel yang diadakan di Melaka lain daripada hasil yang dikeluarkan pihak kementerian,” kata sumber itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Selain itu, Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan penerangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 dua minggu lalu.

Ini kerana menurut Shamsuri, penerangan secara tidak terperinci mengenai rang undang-undang itu menyebabkan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu terkeliru.

Persatuan Pembangunan Kampung Baru sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang membentangkan rang undang-undang itu terlebih dahulu di Parlimen.

Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.

Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang. Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

MI

Kerana jemput Ustaz Hadi, Khusrin beri amaran

GOMBAK, 27 Dis: Kerana menjemput Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan tazkirah di suraunya, pengerusi Surau Al Ehsan, Taman Samudera dekat sini diberikan surat tunjuk sebab oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Amaran itu diberikan Khusrin melalui satu surat yang ditandatangani beliau bertarikh 17 Disember lalu.

Melalui surat itu, Khusrin memberikan amaran kepada pengerusi surau itu kerana menjemput penceramah tanpa tauliah iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk berceramah di masjid itu pada 22 November 2010 yang lepas.

Hari ini Bernama melaporkan Khusrin telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru iaitu ketua pentadbir kepada kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Surat yang ditandatangani Khusrin yang ditujukan kepada Pengerusi Surau Al Ehsan)

Namun begitu, pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya menjelaskan perlantikan itu belum muktamad kerana cadangan perlantikan Khusrin oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Justeru, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan (practice notes). Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010.

Dalam suratnya kepada pengerusi surau Al Ehsan ini, Khusrin berkata, jabatannya (Jais)m akan mengambil tindakan terhadap pengerusi surau itu di bawah peruntukan kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah (Selangor) pindaan 2001 jika gagal memberikan penjelasan dan alasan yang munasabah.

Menjadi satu amalan biasa bagi mana-mana surau khasnya di negeri untuk menjemput para penceramah yang dianggap mengetahui hal ehwal agama untuk memberikan tazkirah di surau mereka.

Tazkirah biasanya diberikan selepas sembahyang Maghrib sambil menunggu waktu Isyak tiba iaitu kira-kira 30 hingga 45 minit.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS telah memberikan tazkirah di surau itu pada 22 November lalu dan kira-kira sebulan selepas itu jawatankuasa surau melalui pengerusinya menerima amaran ini.

Sebelum ini, ketika majlis perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, Khusrin (gambar) dalam ucapannya telah memberikan amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak menukar balik AJK Masjid yang dipilih oleh ahli kariah jika mereka tidak mematuhi arahan pihaknya.

"Tuan-tuan kena ingatan sistem perlantikan nazir dan AJK masjid di Selangor adalah satu-satunya kaedah yang berlaku di negara ini.

"Para nazir perlu patuh dan memberikan komitment kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai tanda terima kasih kerana mereka yang melantik tuan-tuan," katanya.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor, sistem pemilihan AJK masjid dan surau dibuat secara demokrasi dan pihak yang dipilih anak-anak kariah akan dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor berbanding sebelum ini pemilihan dibuat melalui perlantikan terus bukan pemilihan secara demokrasi.

Sunday, December 26, 2010

Angsa ajaib di Tasik Kenyir!

http://buletinonline.net/images/stories/berita37/IMG_8427.JPGTasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. Tasik ini seluas 2,600 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil. Ianya merupakan kerugian besar buat rakyat Terengganu dengan pelbagai hasil yang ditenggelami dengan pelbagai mineral yang belum diterokai kini ditenggelami air.

Apa manfaat buat kerajaan negeri Terengganu? Kecuali kerajaan Terengganu membeli TNB Kenyir ini seperti kerajaan Sarawak yang ingin member Projek Bakun.

Kini kerajaan berbelanja besar untuk projek-projek mega di Tasik Kenyir. Kononnya untuk pelancongan tetapi hakikatnya adalah untuk projek kroni-kroni yang jelas membazir. MB Mat Said nampaknya nak berlawan dengan pembangunan Pulau Wan Man dengan 249.7j termasuk Projek Masjid Kristalnya, Projek Monsun Cupnya kini beliau pula membelanjakan wang RM289 juta dengan 11 projek. Termasuk Projek Pembangunan Tasik Kenyir yang melibatkan pembinaan Taman Burung

http://buletinonline.net/images/stories/berita37/IMG_8371.JPGSelain burung-burung terdapat binatang pelik didapati di sini iaitu itik dan angsa. Bukannya ia bertelur emas tetapi nilai harganya. Seekor itik berharga RM750 dan seekor angsa berharga RM5,600 dengan peruntukkan sebanyak RM6 Juta. Inilah angsa cap UMNO. Inilah sebenarnya projek-projek ikut terlintas dikepala pemimpin UMNO. Tanpa kajian mendalam.

Rakyat Terengganu yang masih lagi tahap dibawah kemiskinan mereka tidak dipedulikan. Keperluan rumah rakyat diabaikan. Peluang pekerjaan semakin susut. Tapia pa pemimpin UMNO peduli?

Sekarang ini Terengganu yang menghasilkan minyak dan gas kering kantung kewangannya bahkan Laporan Audit Negeri mengatakan hutang kerajaan negeri RM1.01 Billion. Sudahlah wang kerajaan kering disapunya kini Simpanan Tetap (fix deposit) kerajaan negeri dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

Ini belum dikira nak buat pembangunan Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir yang akan menelan banyak wang rakyat dimana RM40 Juta. Apa kepentingan rakyat di situ? Barang-barang mewah yang dikecualikan cukai sedangkan rakyat di Hulu Terengganu termasuk kebanyakan rakyat negeri Terengganu hanyu mampu membeli-belah di Pasaraya Mydin. Pasaraya Giant seebelah Mydin pun tak laku. Inikan pula Pulau Bebas Cukai barangan mewah?

Kalau dibiarkan semakin kemaruk pemimpin UMNO ni. Rakyat perlu segera gantikan UMNO. Pru terdekat inilah masanya. Masa untuk berubah!

BO

Related Posts with Thumbnails