Saturday, September 25, 2010

Tiga Insiden Keberkatan Doa Perjalanan



"Sebagai berkongsi iman dan pengalaman serta mempromosi doa perjalanan, maka aku hamparkan di halaman ini tiga insiden yang pernah aku alami. Pertama, aku membaca doa perjalanan dan terserempak dengan babi melintas jalan. Kedua, aku tak pasti sama ada aku baca doa atau tidak tetapi nyaris melanggar dua ekor ayam yang berkejaran di atas jalan. Ketiga, aku tidak membaca doa lalu melanggar anak sendiri. Ngeri bunyinya cerita yang ketiga ini.

Sebenarnya telah menjadi budaya aku sejak bertahun-tahun dahulu, aku akan membaca doa perjalanan ketika setiap kali aku memandu kenderaan. Aku istiqamah membaca doa perjalanan selepas menginsafi bahawa aku selamat di jalan raya, bukan kerana aku cekap memandu, bukan kerana aku jenis memandu ala-kura-kura, bukan juga kerana elok dan lebarnya jalan raya. Aku selamat ketika di jalan raya adalah kerana Allah mengizinkan dan memakbulkan doaku. 

Betapa ramai orang mengalami kemalangan bukan kerana kelemahan dan kecuaian diri sendiri. Sebaliknya sebahagian mangsa kecelakaan jalan raya ialah disebabkan kesilapan, kecuaian pemandu lain. Walau bagaimana cekap sekalipun kita, faktor kecuaian orang lain yang memotong dan terbabas tidak mampu menyelamatkan pemandu yang berpengalaman. 

Cerita pertama tadi ialah seekor babi hutan cuba melintas jalan dalam keadaan meluru ke arah kereta aku. Berdasarkan jarak dan kelajuan kenderaan dan larian babi yang keluar dari semak dalam keadaan berlari-lari, aku amat yakin sama ada aku akan melanggar babi itu atau babi itu melanggar kereta aku. Perangai babi ialah haiwan ini tidak akan berhenti atau buat pusingan-U apabila berlari membabi buta . Entah macam mana, aku yang terkejut terus mengelak sedikit dengan jangkaan muncung babi itu hanya akan bergesel dengan body kereta aku. 

Alhamdulillah aku selamat. Aku tengok melalui cermin belakang. Tiada babi itu. Tidak juga terlanggar oleh kenderaan di belakang aku. Mungkin babi itu membrek (?) atau buat pusingan-U. Aku naik hairan walaupun sebenarnya aku naik kereta ( maaf, lawak). Aku pun teringat doa yang aku baca semasa bertolak dari rumah tadi.

Cerita kedua, aku tak pasti sama ada aku membaca doa atau tidak ketika bertolak dari rumah. Baru berjarak  setengah kilometer dari rumah aku, tiba-tiba di jalan kampung dua ekor ayam berkejar-kejaran sambil melintas jalan. Jarak antara dua ekor itu tak sampai satu meter. Aku gelabah dan tak tahu nak memulas stering ke kiri atau ke kanan dalam keadaan laju lebih kurang 70km/jam. Aku redah juga dengan mengagak tayar keretaku tidak melanggar walau seekor ayam pun. Ya, alhamdulillah selamat. Seekor ayam betul-betul di bawah kereta aku dan seekor lagi sempat brek. Bukan sahaja aku yang mengucap syukur, dua-dua ekor ayam itu juga mengucap syukur kepada Allah.

Cerita ketiga amat ngeri sehingga aku masih terbayang-bayang hingga hari ini. Apabila teringat akan peristiwa itu, aku rasa amat ngeri sekali. Apa tidaknya, aku melanggar anak aku sendiri yang berumur 6 tahun. Berlaku waktu tengahari. Aku tergesa-gesa mengundurkan kereta untuk keluar tanpa teringat membaca doa. Tiba-tiba tak sampai semeter aku mengundur, aku terdengar suara anak aku bertempik betul-betul di bawah kereta aku. 

Oh alangkah terperanjatnya aku sambil diselubungi panik. Perasaan aku ketika itu tidak akan kalian dapat rasai melainkan insiden itu turut kalian alami. Aku segera membrek. Gerun akan nasib yang menimpa anakku di bawah kereta hampir melonglaikan pergerakanku. Aku keluar dari kereta lalu menjenguk ke bawah. Ya, anakku menangis sambil mengensut-ensut keluar dari bawah kereta. Semangatku kembali pulih apabila seluruh badan dan anggotanya keluar dari bawah kereta dalam keadaan selamat. Cuma lengan dan tengkuknya ada sedikit calar. 

Aku tak dapat bayangkan perasaan mujurku hanya Allah yang tahu. Kalau tidak, sudah pasti  aku akan termasuk dalam kategori pemandu yang melanggar anak sendiri, nauzubillah. Terjadinya begitu kerana anakku yang belum matang itu keletihan bermain di luar rumah. Dia berehat di belakang kereta yang agak teduh lalu tertidur. Ketika aku membuka pintu kereta, aku memang tak nampak dia terbaring di bahagian belakang kereta. 

Apabila aku mengundurkan kereta sejarak semester, anakku betul-betul berada di tengah-tengah bahagian bawah kereta dengan kepalanya sudah hampir dengan tayar depan keretaku. Boleh kalian bayangkan nasibnya. Aku bayangkan sama ada dia mati atau cedera parah, patah tangan kakinya atau bercucuran darah. Tetapi syukur kerana Allah selamatkannya dan menyelamatkan aku daripada satu memori yang mungkin akan menghantui aku seumur hidup.

Aku cuba mencari jawapan mengapa aku dan anakku terselamat sedangkan aku tidak membaca doa perjalanan pada hari itu. Aku temui jawapannya hasil pertunjuk dari Tuhanku. 

Pertunjuknya ialah jika sesuatu amalan mulia itu telah sebati dan menjadi budaya kita, maka apabila kita lalai dan cuai sekali-sekala ( sifat manusia biasa) Allah masih menzahirkan kehebatan-Nya dengan menjadikan doa kita berkat pada sepanjang masa.

Sebenarnya, aku bukan sahaja membaca doa perjalanan ketika mula memandu, malah kalau aku lupa, di tengah perjalanan ( bukan di tengah jalan kerana di tengah jalan bukan tempat orang baca doa, maaf lawak lagi) atau hampir sampai ke destinasi pun aku akan membaca doa kalau aku teringat ketika itu. Demikian mesranya aku dengan doa. 

Kesimpulannya aku perturunkan pengalaman ini kerana bertujuan ingin memberi apresiasi dan mempromosikan firman Tuhanku dan sabda junjunganku yang mengajar kita berdoa melalui firman-Nya dan sabda kekasih-Nya. Ambillah pengajaran dari pengalamanku ini.

Tranungkite

Apasal Tulis Guru Agama Tak Tulis Guru UMNO..!!!

Guru Agama Merogol : Kenapa tak cakap UMNO?

Oleh Ustaz Saiful Bahri
Kucing makan tikus bukanlah berita. Musang makan ayam bukan berita yang melariskan akhbar. Ia berita tetapi tak boleh buat berita akhbar. Tak sensasi. Tak menarik orang untuk membaca dan membeli akhbar. Hah kalau tikus makan kucing.. itu baru berita.
Kalau mat rempit merogol… itu biasa. Kalau mat gian hisap dadah… hah tak payah buat liputanlah. Kalau Guru agama merogol… itu baru berita. Kalau Ustaz hisap dadah… hah itu baru ada chance masuk muka depan surat akhabar. Walaupun mungkin satu dalam seribu.

Berita pelaris akhbar satu hal. Agenda satu hal yang lain. Malaysia sebagai sebuah Negara Sekular telah menerapkan sekian lama usaha-usaha untuk memisahkan rakyat dan masyarakat daripada pegangan agama. Mahupun dari kalangan agamawan. Apatah lagi Pas sendiri membayangkan imei orang agama sebagai pendokong perjuangan Islam. Proses mencalarkan imej agamawan, tok guru, ustaz, tok imam, guru al-quran ini berterusan. Paling kurang sedikit sebanyak akan terpalitlah imej kepimpinan dan kepercayaan orang kepada agamawan. Termasuklah agamawan merupakan ramai kepimpinan Pas. Agar pengaruh mereka terhadap rakyat dan masyarakat terhakis.

Tetapi jika perkara buruk itu dilakukan oleh orang biasa, ahli politik bukan agamawan… imej yang cuba digambarkan bahawa ia normal dan biasa. Ianya bukan berita pun. Apatah lagi kalau ia merupakan ahli dan pendokong UMNO maupun pimpinan mereka nescaya ia disembunyikan lagi cuba ditutup kemas-kemas agar tidak terdedah tembelang buruk tersebut.

Banyak berita-berita buruk yang melibatkan agamawan disensasikan, kekadang pengetahuan agamanya taklah setara mana sangat. Kalau media, drama, filem… biasanya kalau berimejkan perempuan bertudung nescaya digambarkan akhirnya seorang yang jahat prilaku, dendam, khianat dsb. Kalau berjubah, berserban, menyimpan janggut, bercelak matanya… biasanya watak filem menggambarkan akhirnya seorang yang berpoligami buruk, ajaran sesat, jahat dan sebagainya… akhirnya gambaran imej yang cuba ditonjolkan adalah mereka golongan yang bertopengkan agama.

Belakang parang kalau diasah akhirnya tajam jua. Akhirnya kepercayaan kepada orang beragama terhakis. Ianya bukan perkara baru bahkan berlaku semenjak zaman nabi-nabi terdahulu lagi. Sampai kini. Bagi politik UMNO-BN agenda mereka adalah supaya rakyat juga akan tersemat didalam kepala golongan agamawan tidak boleh dipercayai. Pemimpin Pas bertopengkan agama. Itulah penghujung matlamat sebenar mereka. Apatah lagi bagi mereka yang memusuhi orang beragama. Golongan liberal, ahli sekular, apatah lagi kepala yang berfikiran Karl marx yang menganggap agama itu sebagai candu kepada masyarakat akan berusaha menimbulkan keraguan kepada masyarakat terhadap golongan agamawan. Tanpa menafikan tindakan jahat sebahagian mereka yang menjadi kerbau pembawa lumpur akhirnya terpali semua.

Contoh terdekat berita kelmaren.

Guru agama rogol budak 15 tahun dipenjara 10 tahun

KUALA TERENGGANU, 23 Sept — Seorang warga emas yang juga guru mengaji al-Quran dihukum penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah merogol anak muridnya 15 tahun lima tahun yang lalu. Shamsuddin Abdul Rahman, 62, berasal dari Kampung Pak Madah, Bukit Payong yang juga bekas pesara Risda mengaku bersalah merogol anak muridnya itu. Tertuduh yang mempunyai empat isteri dan 11 anak diwakili oleh peguam Mohd Asaari Salleh.

Kes didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Che Muhamad Zulkifly Jusoh. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula hari ini selepas mengambil kira faktor usia dan pengakuan tertuduh serta insaf atas perbuatan. Mengikut kertas pertuduhan, pada 11 Jun 2005 lalu, murid berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri kelas mengaji al-Quran di sebuah surau. Tertuduh mengumpan mangsa dengan memberi RM10 sebelum membawa masuk mangsa ke dalam bilik kediamannya dan merogolnya.

Laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa pada 23 Jun tahun yang sama, pukul 6 petang dan pihak perubatan mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa. Tertuduh ditangkap di rumahnya di 387, Kampung Tanjung Mengkudu, Kampung Pak Madah, Bukit Payong Terengganu.

Ulasan akhbar Berita Harian pula dengan mendapat pandangan daripada tokoh agama terkenal.

'Guru al-Quran sekadar topeng'.
Pelaku jenayah seksual tak pegang teguh ajaran Islam: Hassan Din

KUALA LUMPUR. 25 Sept.2010: Individu yang membawa imej orang agama, termasuk guru al-Quran yang melakukan jenayah seksual terbukti tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam, sebaliknya hanya menjadikan agama sebagai topeng demi kepentingan diri.

Mengulas kes seorang guru al-Quran di Terengganu yang merogol anak muridnya, tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata individu itu sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada anak didik, bukan mengambil kesempatan untuk memuaskan nafsu serakah.

“Kes rogol membabitkan guru agama atau guru al-Quran memalukan institusi agama. Mereka sepatutnya memberi teladan terpuji kepada anak murid. Jenayah seksual yang dilakukan mencerminkan insan seperti itu tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam,” katanya.

Bercakap ketika dihubungi Berita Harian, semalam, beliau berkata, dalam kes di Terengganu itu, nafsu serakah lelaki berkenaan terbukti tidak dapat dibendung akibat hasutan syaitan walaupun dia sudah berusia lebih separuh abad dan mempunyai empat isteri.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Akhbar Satar, pesalah kes berkenaan harus dikenakan hukum maksimum oleh mahkamah kerana jenayah dilakukan mereka memberi kesan terlalu besar. iaitu memusnahkan masa depan dan menyebabkan trauma kepada mangsa.

Beliau percaya kebanyakan kes rogol di negara ini tidak dilaporkan kepada polis kerana mangsa adalah ‘secret survivor’ dan takut kepada pelaku yang tergolong daripada individu dikenali.

Penulis ditanya berkait isu ini. Orang Pas ke? Sebab biasanya bila disebut guru agama ni menyokong PAS. Apabila penulis bertanya kepada sahabat di Dun Bukit Payong sendiri diberitahu bahawa si pelaku adalah UMNO. Habis Kenapa tidak diberitahu si pelaku yang tergolong daripada individu dikenali itu adalah UMNO dalam akhbar dan media? Ia akan jadi berita sensasi dan pelaris akhbar. Ramai ahli PAS sendiri akan beli akhbar tersebut. Biar rakyat semua tahu bukan hanya pemimpin atas sahaja yang melakukan skandal seks ini tetapi sehingga ke peringkat kampong dan cawangan UMNO. Tetapi nanti masyarakat akan jawab... UMNO! biasa lah...

Kenapa tak dibuat tajuk:

Guru Agama UMNO menjadi perogol. Dipenjara 10 tahun.

Wartawan nak lapurkan si perogol tu UMNO? Hah!.. cari mampus. Nak kena pecat? Utusan sokong PERKASA tak sokong 1 Malaysia pun pemimpin UMNO terbelalak marah. Kalau salah lapur nescaya dipecat wartawan tersebut. Yelah takkan akhbar dan media berani mendedahkan semuanya. Pemimpin UMNO jadi macam durian. Menggolek pun timen luka, tergolek pun timun luka... kecuali kita jadikan UMNO tempoyak pada PRU-13 nanti.

Monday, September 20, 2010

Gambar-Gambar Kediaman Pemimpin Atasan UMNO

Ini merupakan rumah peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Sri Rosmah Mansor.
http://beritasemasa.com/imej/rumah7.jpg
Sekarang ini beliau pun sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia, jadi kediaman rasminya ada di Seri Perdana Putrajaya
Kediaman bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan juga bekas Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan isterinya, YM Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah
Rumah istirahat dan juga persinggahan bagi mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Toh Puan Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Rumah YB Dato Seri Annuar Musa dan YB Datin Seri Rosniah
Rumah milik peribadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman
Mewah betul rumah-rumah pemimpin UMNO ini..jom kita tengok rumah rakyat biasa
(Gambar: Rumah Nik Aziz di Pulau Melaka tidak sama dengan rumah para menteri besar BN walaupun sudah 19 tahun menjadi MB)
Rumah Tok Guru Haji Hadi
Dan Ini rumah rakyat kebanyakkan...

Friday, September 3, 2010

Mahu lebar jalan atau roboh surau

BUKIT KATIL, 3 Sept: Penduduk Kampung Bukit Katil membantah pembinaan jalan baru yang menghubung jalan utama ke beberapa buah taman melalui Lorong Datuk Demang Hussein, di sini.

Lorong tersebut akan dibesarkan saiznya dan pembesaran itu akan menyebabkan bangunan Pasti Jaya Insan dan surau akan dirobohkan.

Tindakan pihak berkuasa dilihat tidak logik kerana jika benar lorong tersebut hendak dibesarkan mengapa ianya tidak menggunakan tanah kosong di sebelahnya yang tidak membabitkan perobohan Pasti dan Surau.

Malah jika benar jalan baru itu hendak dibina adalah lebih baik ianya dibina di atas tanah berhadapan dengan Klinik Desa Kampung Bukit Katil kerana ianya tidak akan melibatkan rumah dan bangunan-bangunan lain.

Perancangan itu seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk menghapuskan bangunan Pasti dan surau yang telah lama dibina.

Pasti Jaya Insan amat berjasa kepada masyarakat setempat kerana ia menjadi pusat pendidikan kanak-kanak prasekolah manakala surau menjadi tempat menimba ilmu agama yang sentiasa mendapat sambutan penduduk setempat.

Kelas-kelas pengajian agama hampir setiap malam diadakan di samping kuliah subuh dan juga lain-lain program kemasyarakatan.
Tindakan pihak berkuasa yang dilihat sengaja memasukkan bangunan Pasti dan surau mengundang bantahan hebat dari penduduk setempat.

Mereka berpendapat jika jalan tersebut dibina dengan tidak melalui tapak Pasti dan surau jalan tersebut akan lebih lurus.

Mengapa pula pihak berkuasa sengaja ingin membina jalan yang bengkok sedangkan jalan lurus lebih baik dan mudah.

Bantahan awal telah dizahirkan oleh penduduk setempat pada 31 Ogos lalu apabila kira-kira 150 orang penduduk berkumpul beramai-ramai di seberang jalan berhadapan Masjid Bukit Katil menyatakan rasa tidak puas hati di samping mereka menyambut Hari Merdeka.
Mereka menurunkan tandatangan masing-masing pada sebuah kain pemidang menyatakan rasa tidak puas hati tentang cadangan pihak berkuasa itu.

Sementara itu, PAS Cawangan Bukit Katil dan Bukit Bayan telah membentuk Jawatankuasa Bertindak menentang projek tersebut di mana Ketua PAS Cawangan Bukit Katil, Mohd Yassin Abdul Ghani telah dilantik menjadi pengerusinya.

Jawatankuasa itu telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam beberapa hari lepas bagi menyampaikan bantahan awal.

Dalam perjumpaan tersebut Ketua Menteri telah memberikan pelbagai alasan yang tidak logik tentang pembinaan jalan tersebut. Jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat secepat mungkin bagi  merangka tindakan seterusnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata tindakan pihak berkuasa itu sebenarnya berniat jahat dan mereka menghalalkannya atas nama pembangunan.

"Mengapa mereka sengaja membuat jalan di kawasan itu sedangkan banyak tanah kosong lain yang tidak melibatkan bangunan dan ianya lebih lurus boleh diambil.

"Jelas mereka sebenarnya busuk hati dan berdendam dengan kita, mereka sakit hati melihat surau dan Pasti ini diimarahkan oleh penduduk setempat.

"Kita akan menentang projek ini dengan pelbagai cara dan saluran," jelas Yusof yang juga Penyelia Dun Bukit Baru.

sofi wahab

Wednesday, September 1, 2010

Daftar pemilih: DAP masih di depan, Umno mula kejar

PUTRAJAYA, 1 Sept — DAP masih berada di hadapan dalam mendaftar pengundi baru setakat ini tetapi pesaing terdekatnya — Umno kelihatan cuba merapatkan jurang pada Julai lalu.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, DAP mendaftar seramai 9,106 pengundi sepanjang Julai lalu manakala Umno pula 7,230 orang.

Kedudukan itu masing-masing bersamaan dengan 38 dan 30 peratus.

Sepanjang bulan berkenaan penolong pendaftar parti-parti politik mendaftar seramai 23,911 pengundi.

Jumlah itu tidak sampai separuh daripada 48,655 orang yang didaftarkan pada bulan Jun.
Pada Jun, DAP mendaftarkan 20,862 orang ataupun 42.8 peratus manakala Umno pula 10,675 orang iaitu 21.5 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih SPR Datuk Zainal Abidin Mat Said mengakui ada penurunan prestasi parti politik mendaftar pengundi baru pada Julai lalu.

“Sebab, faktor penurunan kami tidak dapat pastikan. Tetapi DAP masih di depan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, dari segi peratusan pendaftaran pengundi baru Umno nampaknya ‘semakin agresif’ pada bulan Julai berbanding bulan Jun.

“Pada Jun, peratusan pengundi baru yang didaftarkan oleh penolong pendaftar DAP adalah sebanyak 42 peratus berbanding 21 peratus di pihak penolong pendaftar dari Umno. Pada bulan Julai, DAP merekodkan 38 peratus manakala Umno pula 30 peratus,” katanya lagi.

Penolong pendaftar dibayar RM1 bagi setiap permohonan baru dikemukakan kepada SPR.

Terdapat 2,378 penolong pendaftar yang dilantik mewakili parti-parti politik di seluruh negara.
Sepanjang Julai lalu PAS menghimpunkan 3,961 pengundi baru berbanding 12,228 pengundi baru sebulan sebelum itu.

Mengikut pecahan yang dikeluarkan SPR, pada Julai lalu, Umno mendaftar 7,230 pengundi baru, MCA (455), MIC (18), Gerakan (83), DAP (9,106), PAS (3,961), PKR (1,749), PPP (98), PBS (225), SAPP (20), LDP (68), PBB (303), SUPP (490), SPDP (93), dan PRS (12). Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, DAP telah mendaftarkan 55,321 pengundi berbanding Umno 54,872.

MCA pula mendaftarkan 2,917 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu, MIC (1,109), Gerakan (476), PAS (36,618), PKR (13,098), PPP (empat), PBS (686), SAPP (218), Upko (241), LDP (37), PBB (649), SUPP (972), SPDP (435), PRS (191) dan SNAP (enam).

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, SPR telah mewartakan daftar pemilih tambahan suku kedua 2010 membabitkan pemilih yang terdiri daripada seramai 164,812 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Pada masa yang sama kata beliau, SPR telah mengeluarkan sebanyak 58,303 nama daripada rekod pemilih berdaftar atau sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara.

Daftar pemilih suku kedua itu telah diwartakan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, dengan pengesahan daftar tambahan suku kedua ini negara mempunyai seramai 11,381,193 pemilih yang sah berbanding 11,247,225 sebelum ini.

Daripada seramai 11.4 juta itu, 4,344,101 orang merupakan pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah manakala 7,037,092 lagi berusia 41 tahun dan ke atas.

“Dengan proses ini, SPR telah dapat mengurangkan bilangan mereka yang mendaftar daripada 4.3 juta kepada 4.2 juta,” katanya.

Secara perbandingan kata beliau, SPR menerima 191,970 permohonan baru sepanjang suku kedua 2010 melibatkan April dan Jun lalu berbanding 157,327 pada suku pertama.

“Secara purata kami menerima 170,000 permohonan bagi setiap suku tahun ini setakat ini berbanding 85,000 permohonan setiap suku sepanjang tahun lalu.

“Pada tahun pilihan raya umum 2008 (yang berlangsung bulan Mac), SPR hanya menerima secara purata 50,000 berbanding purata 300,000 setiap suku pada tahun 2007,” katanya.
Oleh itu beliau menjangkakan purata permohonan baru yang diterima akan meningkat selepas ini mengambil kira pilihan raya umum dan negeri Sarawak.

RM100 lagi bagi kakitangan awam Pulau Pinang

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menambah RM100 lagi sebagai pemberian kewangan khas kepada kakitangan awam di negeri itu, menjadikkan jumlahnya RM500.

“Walaupun pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang pada 18 Ogos lalu adalah hanya RM400, namun namun tindakan awal ini telah berjaya mendapat perhatian kerajaan persekutuan yang mengikut jejak langkah dengan mengumumkan duit raya RM 500.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menaikkan amaun bantuan kewangan tersebut selaras dengan pengumuman kerajaan persekutuan yang bernilai RM500,” kata ketua menteri, Lim Guan Eng ketika majlis perhimpunan bersama anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang, hari ini.

Selain bayaran RM500 itu, beliau juga mengumumkan bayaran RM 250 untuk guru Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain).

“Pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 ini melibatkan sejumlah 3,700 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.85 juta.

“Pemberian kepada 1,396 guru Kafa sebanyak RM 250 akan melibatkan RM 349,000. Sekiranya kita mengambilkira semua pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan agensi negeri, ia membabitkan RM5.2 juta,“ kata Lim.

Menurut Lim, beliau berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memperkukuhkan tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih berdaya saing di persada antarabangsa.


malaysiakini
Related Posts with Thumbnails