Tuesday, August 31, 2010

Merdeka: Tiada lagi pasangan di tempat gelap

SHAH ALAM, 1 Sept: Keadaan sunyi sepi di Taman Tasik, dekat sini selepas jam 12 tengah malam semalam sebaik tamat laungan golongan muda menyambut tarikh kemerdekaan negara ke-53 membawa makna besar kepada pemerintahan Pakatan Rakyat.

Tinjauan sehingga 4 pagi mendapati tidak terdapat pasangan yang berdua-duaan di dalam gelap atas kerusi di bawah pokok menjadikan malam 21 Ramadhan berlangsung aman damai sehinggalah ke subuh hari.

Namun senario itu bukan terjadi dengan sendirinya tetapi ia adalah gabungan dari banyak usaha Kerajaan Negeri Selangor selama ini yang mengutamakan pembangunan modal insan yang dilaksanakan dalam program SPIES, sebagai contoh.

Malam tadi bermula jam 2 pagi, lebih dari 1,000 sukarelawan dari 24 bergabung tenaga untuk bertemu dengan semua pasangan dengan memberikan risalah berkaitan dengan fakta kelahiran luar nikah dan buang bayi.

Mereka bergerak di beberapa tempat tumputan golongan remaja yang sering berkumpul dan ada yang melampiaskan nafsu keinginan badaniah secara tidak halal antaranya di Sunway Paramid, Taman Tasik Shah Alam, Uptown Shah Alam, Dataran Shah Alam dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam serta Tanjung Harapan, Pengkalan Batu di Klang.

Sebaik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melancarkan Gerakan Kempen Anti Zina kepada Orang Islam Selangor selepas merasmikan Sambutan Kemerdekaan dan Penghayatan Ramadhan 2010 di I-City, kumpulan-kumpulan duta kasih sayang itu pun diberi taklimat dan bergerak.

Sepatah kata Khalid, inilah pertama kali gerakan seumpama ini dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor yang ditujukan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam juga diharapkan dapat menjauhi perbuatan begitu.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, merdeka holistik yang diharapkan meliputi kejayaan memerdekakan minda, fizikal dan spiritual.

Menurut Pengarah Kempen Anti Zina 2010, Aszmi Anuar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjaama terbaik sehingga program berjalan dengan lancar.
"Meskipun gerakan kita dengan 24 NGO namun ada juga kumpulan yang bergerak dahulu menjadikan jumlah kumpulan yang bersama malam tadi sekitar 40 NGO dan ini merupakan satu kejayaan bersama.

"Kita berikan mereka peringatan kepada anak-anak muda itu, ramai yang menerima dengan baik dan pulang, namun ada juga yang melawan sebab mereka berhujah, 'ibu bapa benarkan mereka keluar dengan pakaian singkat'.

"Kerjasama pihak polis, MBSA dan Jais malam tadi serta sokongan banyak pihak dapat kita basmikan gejala sosial yang kini banyak menimbulkan anak luar nikah dan buang bayi, inilah gerakan anti zina yang menjadi matlamat agar masyarakat menjadi lebih baik selepas ini," tegasnya.

Berikan kepercayaan penuh kepada PAS- Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.

harakahdaily

Teo Nie Ching dapatkan penjelasan TG Nik Aziz

Monday, August 30, 2010

Persada sokong Kelantan saman Petronas


KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Persada) menyokong penuh tindakan kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti Petroleum Kelantan yang dirampas Kerajaan Persekutuan.

Presidennya, Ali Hanafiah Mohammad berkata, Persada sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong usaha kerajaan negeri mempertahankan hak rakyat negeri itu tanpa ada sentimen politik.

"Kami sebagai rakyat Kelantan menyokong kerajaan negeri kelantan membuat tuntutan royalti tanpa sentimen politik sebab kita tengok dari segi penjelasan, dari segi fakta memang Kelantan berhak dari segi royalti," kata Ali yang hadir bersama kira-kira 50 ahli Persada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi tadi.

Beliau berkata, meskipun berada jauh di perantauan, majoritinya di Lembah Klang, namun mereka tetap mengikuti perkembangan negeri Kelantan terutamanya melibatkan isu rakyat negeri itu yang tidak terbela.

"Persada sebagai rakyat Kelantan walaupun berada di perantauan, kami berasa bertanggungjawab untuk mengikuti perkembangan negeri kami dan turun memberikan sokongan dalam segala tindakan yang membela rakyat Kelantan," katanya.

Beliau juga berkata, Persada juga mahu kerajaan negeri meneruskan usaha rundingan dengan Kerajaan Persekutuan agar mereka mengembalikan hak rakyat Kelantan dalam pemberian royalti yang dinafikan sejak tahun 2004.

"Walau bagaimanapun di samping tuntutan saman oleh menteri besar, kita juga minta kerajaan negeri menggunakan saluran-saluran yang ada untuk perbincangan dengan kerajaan pusat," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memfailkan saman kerajaan negeri terhadap Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

harakahdaily

DR. MASYITAH BERFATWA LAGI

http://www.fadhlibrahim.blogspot.com/
 

Di SUNGAI PETANI (Berita harian online), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan nazir dan ahli jawatankuasa surau itu membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan dan menyalahi hukum.

“Orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan apatah lagi memberi ceramah kepada jemaah surau berkenaan.

“Perkara ini disifatkan serius dan ia perlu disiasat secara menyeluruh dan jika benar ia berlaku ia seakan-akan satu bentuk penghinaan terhadap orang Islam,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan sambutan Hari Wanita anjuran Wanita UMNO Baling.

Dr Masyitah mungkin terlupa untuk lihat kembali artikel ilmiah yang ditulis oleh Ghafani Awang Teh, melalui saluran berita harian bertarikh 1 March 2008 dan dipaparkan di web JAKIM yang menyatakan :

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasarkan
pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)

Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.

ROSMAH PUN BERUCAP DALAM MASJID TAK TUTUP AURAT


BESUT, 28 Ogos (Bernama) — Pemimpin Islam dalam pakatan pembangkang diminta menasihati rakan masing-masing terutama dari DAP supaya mematuhi hukum-hukum Islam berhubung penggunaan tempat ibadat seperti masjid dan surau.

“Islam mempunyai batasan tertentu dalam penggunaan rumah ibadatnya supaya ia tidak dicemari dan dipergunakan sewenang-wenangnya hingga menimbulkan rasa tidak puashati kepada orang Islam di negara ini,” kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Katanya, tempat ibadat adalah merupakan tempat yang suci dan sepatutnya ia tidak boleh dicemari dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam yang diamalkan oleh penganut Islam di Malaysia.

Justeru, katanya, tindakan Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan menyampaikan “tazkirah” di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lalu adalah amat memalukan dan mendukacitakan.

Beliau berkata memang sepatutnya sebagai Ketua Agama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan apa yang berlaku.

Dr Abdullah berkata sepatutnya pemimpin pembangkang yang beragama Islam prihatin terhadap perkara tersebut dengan lebih awal memberikan nasihat kepada rakan bukan Islam mereka berhubung apa yang dibenarkan dan batasan dalam Islam.

Katanya, mengikut peraturan dalam Islam, wanita sepatutnya menutup aurat apabila memasuki sesebuah rumah ibadat seperti masjid ataupun surau.

ULASAN :Terlebih dahulu Dato’ Abdullah Md Zin menasihati perempuan yang dalam gambar tengah berucap tu…Jambul dia tu bukan aurat ke ? sebab dia orang islam sama seperti Dato’ juga,…kenapa ? Tak berani nak tegur ke? sama-samalah kita doa semoga allah beri hidayah kepadanya…:)


http://dupahang.wordpress.com

Masuk surau: Nie Ching temui Nik Aziz.

 TGNA dan Teo KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.
Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.


Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.

"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.
22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.

Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.

"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.

"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu.

www.harakahdaily.net

Saman Petronas demi maruah rakyat - Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.

"Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.

"Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya," kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.

Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.

"Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami," katanya lagi.

Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.

"Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini," katanya lagi.
Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.

"Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya.

Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.

Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.

Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.

"Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan," katanya.

harakahdaily

Monday, August 23, 2010

PAS Perlis, Langkawi tetap mahu jambatan RM130 bilion

PAS Perlis dan Langkawi hari ini menongkah arus dengan penduduk pulau tersebut apabila tetap mahukan sebuah jambatan dibina menghubungkan antara kedua-dua kawasan tersebut.

Malah mereka juga menolak pandangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan RM130 bilion itu atas alasan "menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu".

"Kalau pembinaan jambatan sahaja, ia tidak menjejaskan (kecantikan) pulau itu. Kita jangan jadikan Langkawi sebagai pusat perindustrian.

"Kekalkan sebagai pusat pelancongan. Kekalkan alam semula jadi flora dan fauna," kata Ketua Penerangan PAS Perlis Rus'selle Ezlan

Rus'selle mengulas cadangan pembinaan jambatan tersebut yang mendapat bangkangan daripada Dr Mahathir - penggerak utama kemajuan Langkawi.

Dilaporkan cadangan pembinaan jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis merupakan antara projek yang ingin dibangunkan oleh Juruelit Sdn Bhd dan Kalammas Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn Bhd, Kamarudin Husin dilapor berkata pihaknya mempunyai kemampuan dana untuk melaksanakan projek itu, yang akan dilaksanakan sekali dengan pembinaan jambatan monorel.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Rus'selle yang juga ADUN Simpang Empat berkata, pembinaan jambatan itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi rakyat dan menarik banyak pelaburan ke Perlis.

"(Jambatan itu) dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri tersebut. Mereka akan datang ke Perlis, sebagai pusat transit (ke Langkawi). Ia dapat meningkatkan ekonomi dan pendapat rakyat," katanya.

Menurutnya, jambatan tersebut, jika menjadi kenyataan akan memudahkan penduduk di kedua-dua tempat berhubung antara satu dengan yang lain.

Sementara itu, timbalan yang dipertua PAS Langkawi Mazlan Ahma pula berkata, pembinaan jambatan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar dan kecantikan Langkawi sekiranya terdapat kajian mendalam berhubung perkara tersebut dibuat.

"Apa kena mengena pembinaan jambatan dengan kecantikan pulau. Saya rasa (ia) tidak merosak kecantikan (pulau). Kalau begitu (tolak jambatan), (maknanya) kita menolak kemajuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini
 
 

Dato Onn bukan menang pilihan raya kecil

Subky Latif

SAYA mahu membentulkan kesilapan kecil Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas dalam rencana tetapnya di sebuah harian.

Tulisnya, Dato Onn menang dalam satu pihan raya kecil Parlimen di Terengganu. Dan itulah kemenangan pertamanya dan kemenangan terakhirnya.

Sebenarnya yang dimenanginya itu bukan pilihan raya kecil tetapi pilihan raya umum 1959. Dia mengalahkan calon Perikatan, Ungku Mohsin Abdul Kadir dalam perlawanan satu sama satu.

Dato Onn pernah menyertai pilihan raya Parlimen tiga kali. Yang pertama dalam pilihan raya pertama tahun 1955 di negeri di Johor . Walau pun dia pemimpin Melayu yang terkemuka bukan saja di negerinya tetapi di seluruh Tanah Melayu, tetapi dia kalah di sarangnya sendiri. Tidak seorang pun calon Parti Negara yang dipimpinnya menang.

Kemudian adalah satu pilihan raya kecil jika tidak silap di Batu Pahat. Jika saya silap DKL (Dolah Kok Lanas) pula boleh betulkan saya. Batu Pahat adalah kubunya satu masa kerana dia pernah jadi Pegawai Daerah di situ.

Dia juga kalah di situ.

Dalam Pilihan Raya Umum 1957, pilihan raya Parliman dan Negeri tidak serentak. Pilihan raya Parlimen diadakan setelah pilihan raya di negeri-negeri selesai.

Dalam pilihan raya Negeri Terengganu, Parti Negara menang empat kerusi. Perikatan kalah dan PAS yang membentuk kerajaan. Parti Negara tidak menang di mana-mana melainkan di Terengganu saja.

Maka PAS memberi laluan kepada Dato Onn untuk bertanding dalam satu kawasan. Jika PAS tidak memberi laluan kepadanya, belum tentu Dato Onn boleh menang dalam pertandingan tiga penjuru. PAS pun belum tentu menang kalau bertanding melawan Dato Onn dan Ungku Mohsin.

Pemimpin PAS ketika itu ialah Dr. Burhanuddin Al-Hilmy. Dr. Burhanuddin adalah seteru politik Dato Onn yang memimpin Umno. Dr. Burhanuddin memimpin parti Melayu yang pertama ditubuhkan iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya. Sambutannya adalah positif.

Kemudian Dato Onn menubuhkan Umno bersaing dengan PKMM yang dipimpin Dato Onn. Apabila Darurat diisytibarkan tahun 1948, Inggeris mengharamkan PKMM tetapi Umno tidak. Malah Dato Onn dan seterngah penyokong Umno dilantik menjadi menteri dalam kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dijajah Inggeris.

Dato Onn sebagai menteri dalam negeri bertanggungjawab bagi pihak British mengenakan tahanan kepada pemimpin dan penyokong PKMM.

Tetapi dalam Pilihan Raya Umum 1959 itu Dr. Burhanuddin memberi laluan kepada seteru politiknya itu untuk bertanding di Terengganu dan Dato Onn menang. Tetapi beliau meninggal sebelum penggalnya berakhir. Orang kuatnua Gharib Raof bertanding sebagai calon Parti Negara dalam pilihan raya kecil di kawasannya dan kalah.

Matilah Parti Negara selepas mati Dato Onn. Anak cucu Dato Onn tidak menyambung pimpinan partinya tetapi mereka meneruskan perjuangan Umno yang tidak pernah disenangi oleh Dato Onn.

Mengapa Dr. Burhanuddin bersetuju memberi laluan kepada Dato Onn sedang Terengganu adalam negeri yang sudah diperintah oleh PAS?

Itulah siasah syariyah. Sebagai parti politik, PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana lawan Umno, supaya musuh yang lebih besar itu dapat dikurangkan pengaruhnya. Dengan memberi laluan kepada Dato Onn, Dato Onn dijamin menang dan sekalian penyokong Dato Onn di tempat lain memberi sokongannya kepada calon PAS.

Jika bertanding tiga penjuru dengan Dato Onn, PAS mungkin menang dan tidak mungkin menang. Dengan memberi laluan kepada Dato Onn, jelas Perikatan tidak menang.

Walau pun Parti Negara dan Dato Onn sudah menjadi seteru yang kecil, tetapi dengan keadaan yang ada, Dato Onn dan Parti Negara sudah tidak boleh pergi lebih jauh.

Poliltik kerjasama yang PAS tunjukkan itu adalah satu kematangan sementara ia membina kekuatannya bagi melebarkan pengaruh partinya.

Kaedah siasah syariyah yang sedemikian juga dibuat semasa PAS memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali, seorang yang dipecat Umno untuk bertanding menggunakan lambang PAS di Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke 12.

Walaupun Datuk Ibrahim menjadi MP bebas dan kadang-kadang menyusahkan PAS, tetapi PAS ketika itu hanya ada majoriti satu kerusi di DUN Kelantan dan dalam Pilihan Raya Kecil di DUN Pasir Pekan dalam Parlimen Pasir Mas, PAS telah kalah.

Strategi memberi kerusi kepada Ibrahim Ali satu dari ikhtiar bagi mengekalkan pengaruh PAS. PAS dapat memenangi pilihan raya umum lalu dengan majoriti yang besar.

Ada pun Ibrahim Ali seorang itu biarkanlah. Ada dia pun tidak menguatkan sangat PAS dan tiada pun tidak pula melemahkan PAS.

BN lekakan rakyat dari mencari Lailatul Qadar


BESUT, 23 Ogos: Kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa sengaja merancang program-program hiburan di saluran media dikuasainya sepanjang bulan Ramadhan bagi membantutkan kesungguhan umat Islam mempertingkatkan amal, terutama usaha mereka mencari malam penuh berkat yang dinamakan Lailatul Qadar.

“Kita dimaklumkan sejak dua tiga bulan sebelum Ramadhan, kerajaan (BN) sudah pun rancang program-program yang nak diisi, terutama dalam tv. Program hiburan, cerita dan sebagainya sengaja disusun supaya umat Islam terpesona depan tv lalu lalai dari ambil kesempatan lipatgandakan amal, terutama di waktu malam sepanjang bulan mulia ini,” dakwa Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Terengganu, Haji Omar Sidek.

Dalam tazkirah ringkas sempena solat tarawih di Masjid Tengku Zainal, Kampung Air Tawar, dekat sini malam tadi, beliau melahirkan raza kesal apabila program-program hiburan di tv tidak langsung dikurangkan, sekali gus memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak menzahirkan rasa hormat di atas kehadiran Ramadhan.

Menurut bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu, rakyat tidak perlu merasa pelik sekiranya dakwaan itu benar, kerana telah dimaklumi umum bahawa kerajaan BN sekarang menggunakan khidmat sebuah firma Yahudi sebagai penasihat negara.

Sedangkan, katanya, al-Quran secara jelas telah memberi ingatan kepada umatnya bahawa golongan Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan redha dan setuju dengan umat Islam, selagi kita tidak mengikut jalan dan telunjuk mereka.

“Mana mungkin Yahudi akan menasihati kerajaan supaya buat program biar umat Islam makin menghayati agama? Sebaliknya, dia akan usahakan agar kita semua makin jauh. Sebab itu kalau kita tengok program kerajaan kebanyakannya tidak ajak rakyat berlumba merebut keberkatan Ramadhan,” ujarnya lagi.

Sebaliknya, beliau berkata seluruh negara bagaikan diajak untuk “berlumba” menjamu selera dengan berbagai jenis makanan dan kuih-muih. Rakyat juga diajak untuk “berlumba” mempersiapkan rumah dan keluarga masing-masing untuk menyambut Hari Raya Idulfitri sejak hari pertama puasa lagi.

Omar turut berpandangan bahawa semua ini tidak terlepas dari perancangan demi kepentingan politik BN.

Baginya, perkara itu adalah sebahagian taktik halus BN untuk memastikan rakyat, terutama umat Islam, terus menyokongnya.

“BN terlalu takut sekiranya umat Islam benar-benar menghidupkan Ramadhan mengikut apa yang dikehendaki agama. Orang yang hidupkan bulan mulia ini, lebih-lebih lagi bertemu pula dengan Lailatul Qadar, dijanjikan Allah menjadi orang bertaqwa.

“Apabila rakyat menjadi orang yang benar-benar bertaqwa, dia tentu akan pilih dan sokong orang baik dan bertaqwa juga jadi pemimpin. Ketika itu mana ada lagi yang akan sokong BN?” soalnya.
Di atas perkiraan itu, katanya BN lebih selesa sekiranya rakyat negara ini, terutama umat Islam kekal dalam keadaan Islam “tradisi” sepertimana sedia ada.

Taktik itu, menurutnya samalah sebagaimana BN sangat selesa sekiranya sebilangan rakyat kekal miskin kerana memudahkan BN menggula-gulakan mereka dan memberikan keuntungan politik, terutama setiap kali berlakunya pilihan raya.

harakahdaily

Saturday, August 21, 2010

Nakhaie: Semua orang tahu Perlis beza

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakhaie Ahmad mempertahankan tulisannya dalam sebuah majalah agama yang didakwa menghasut untuk menentang kedaulatan negeri Perlis.

Katanya, tulisannya berjudul "Penyelewengan Wahabi" dalam Milenia Muslim keluaran terbaru (Ogos) tidak langsung mempertikaikan perlembagaan negeri itu yang meletakkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai akidah negeri itu.

"Perlembagaan semua negeri sama (nyatakan pegangan Ahli Sunnah). Yang saya sebut 'keluar daripada jemaah'.

"Bukan (maksudnya) jemaah Ahli Sunnah, (tetapi) jemaah fekah (mazhab) Shafie. Semua orang tahu pengalaman agama di Perlis berbeza," katanya sambil menyifatkan perkara itu sebagai subjektif.

Sebelum ini, menulis dalam ruangan 'Kembara Minda', Nakhaie - bekas pemimpin kanan PAS yang mencetuskan kontroversi kerana menyertai Umno pada 1989 - menulis di perenggan terakhir:

"Tindakan Perlis keluar daripada jamaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang."

Yang buta, yang tuli
Reaksi daripada tulisan yang diterbitkan sebuah agensi agama persekutuan itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menggesa pihak berwajib mengambil tindakan terhadap Milenia Muslim yang didakwa menghasut.

Menurut Dr Juanda, majalah agama itu diisi dengan "tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islamnya".

Sebelum ini, lima NGO Perlis membantah artikel Nakhaie dengan alasan yang hampir sama.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Nakhaie menjelaskan beliau tidak menyebut langsung perkataan Wahabi dalam tulisannya itu.

Justeru, tambahnya, tidak timbul langsung soal beliau perlu meminta maaf.

Ditanya sama tentang tajuk artikel yang jelas menyebut aliran agama itu, sambil ketawa, Nakhaie berkata:

"Itu kena tanya ketua pengarang (majalah berkenaan)".

Nakhaie berkata, tulisannya itu hanya bertujuan memberikan pandangannya hasil daripada pengalaman dan perbincangan dengan ulama-ulama di Perlis sebelum ini.

"Masalahnya pada pengikut-pengikut dia. Yang alim-alim tak kata apa.

"Tetapi (masalahnya ada) pengikut yang fanatik, yang buta, yang tuli, yang suka menyifatkan amalan orang lain sebagai bidaah, sesat, kafir.

"Kalau macam ini berpecah-belahlah orang," katanya sambil menyarankan semua negari diseragamkan dengan menggunapakai mazhab Syafie dalam pengamalan fekahnya.

malaysiakini

Friday, August 20, 2010

Pakatan perlu menang besar di Kedah

Pakatan Rakyat (PR) perlu menang besar di negeri Kedah bagi mengukuhkan pemerintahan negeri yang sedia ada dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (gambar) berkata, antara langkah yang akan diambil ialah kemungkinan meletakkan calon bukan Islam bagi bertanding mewakili PAS di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu

Namun begitu, kata putus adalah terletak kepada keputusan oleh PAS Pusat selepas diadakan perbincangan dengan komponen PR melalui Jawatankuasa Pembahagian Kerusi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan negeri berkata, faktor sokongan dan penerimaan pengundi serta keputusan perbincangan yang dibuat dalam PR adalah satu perkara yang diberi prioriti.
"Inilah peluang bagi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk terpilih mewakili PAS. Walau bagaimana pun ia akan bergantung kepada keperluan parti dan PR.

"Tidak juga dinafikan kemungkinan peluang bagi calon bukan Islam dari PAS untuk diletakkan sebagai calon memang ada. Tiada juga kuota yang ditetapkan bagi calon bukan Islam bertanding di negeri Kedah," katanya.

Tambahnya lagi, pertambahan penyertaan bukan Islam dalam DHPP adalah kerana keyakinan mereka terhadap perjuangan yang dibawa oleh PAS yang berteraskan Islam serta bebas dari korup dan penyelewengan.

Sebelum ini, katanya kerajaan negeri yang diterajui PAS sering dipersalahkan dalam banyak isu yang sengaja dibangkitkan oleh Umno dan Barisan Nasional bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Isu sampah, pembalakan, bekalan air, pembuangan pekerja di kawasan perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim dan kini yang terbarunya ialah banjir yang melanda beberapa daerah di Sik dan Baling turut dituding jari kepada kerajaan Negeri oleh Umno BN.

Walau bagaimana pun, ujarnya dengan tindakan bijak kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, semua dakwaan Umno dan BN itu telah berjaya disangkal.

utaraonline

PAS ganti Umno jadi teras politik Melayu?

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dengan kesediaan PAS menjadi teras politik Melayu amat wajar didokong oleh rakyat Malaysia dewasa ini yang condong untuk member peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah setelah UMNO BN  di’pencen’kan selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Majoriti rakyat terutamanya orang-orang Melayu memuji ketegasan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS kerana berani mempertahankan hak istimewa orang Melayu tetapi dalam masa yang sama beliau tegas menyatakan keadilan kepada semua rakyat perlu diberikan kepada semua bangsa selaras dengan tuntutran Islam.

Dalam keadaan yang terdesak untuk mendapat sokongan PAS, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menanggok di air keroh dengan memuji Presiden PAS dan dalam masa yang sama  cuba melaga-lagakan PAS dengan DAP.

Tindakan Timbalan Presiden UMNO ini dibidas pula oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon  yang merupakan komponennya sendiri dengan nasihat supaya parti politik membuang budaya politik negative dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan harmoni.

Kesedaran beliau tentang hakikat parti-parti politik berdendam antara satu sama lain terutama selepas Pilihanraya umum 2008 wajar diikuti dan diamalkan bukan sahaja oleh Pakatan Rakyat tetapi juga oleh Barisan Nasional.

Impian PAS ganti UMNO

Selain Kelantan dan Terengganu, impian PAS untuk menggantikan UMNO berjaya selepas pilihanraya umum 2008 yang lalu dengan sokongan parti-parti Pakatan Rakyat yang lain di Kedah dan Perak.

Dengan PAS hanya ada 16 kerusi sahaja di DUN Kedah yang mempunyai 36 kerusi, kerajaan PAS boleh membentuk kerajaan Pakatan Rakyat dengan sokongan PKR dan DAP tetapi boleh tumbang bila-bila masa sahaja jika politik Pakatan Rakyat tidak berjaya diuruskan dengan baik di negeri ini.

Beberapa percubaan telah dilakukan oleh UMNO dan BN tetapi masih belum berhasil untuk menumbangkan Ustaz Azizan Abdul Razak dan kerajaan PAS di negeri Jelapang Padi ini seperti mereka menumbangkan Ir Nizar Jamaluddin,  Menteri Besar PAS dan kerajaannya di Perak.             

Di Selangor pula, PAS sedang mencari jawapan adakah orang Melayu masih bersama UMNO atau telah berhijrah kepada PAS dan PKR? Sekiranya orang Melayu bersama dengan PAS, orang Melayu tetap menjadi teras politik di negeri Selangor yang majoriti Melayunya tidak sampai 60 peratus.

Manakala di negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan belum menampakkan perubahan yang drastik untuk bersama mendokong PAS  sebagai bahtera yang boleh menyelamatkan orang Melayu kepada satu teras yang baru dan baik yakni Islam.

Di Johor, PAS telah berjaya memperolehi dua kerusi DUN,(iaitu DUN Sungai Abong dan DUN Maharani) sekarang ini. Berbagai perangsaraf mula dilancarkan bagi menghadapi gelombang kebangjkitan Pakatan Rakyat di Johor. Diantaranya, kain rentang yang mendakwa PKR akan menabalkan Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor ditabalkan menjadi Menteri Besar Johor selepas PRU ke-13 nanti. 

Di sini peranan Naib Presiden PAS, Sallehuddin Ayub  yang dipertanggungjawabkan kepada pemerkasaan parti PAS perlu dibantu bagi

memastikan Johor juga menjadi pangkalan PAS dan tidak ketinggalan memberikan sumbangan beberapa kerusi parlimen kepada PAS dalam usahanya menggantikan UMNO.

Tindakan Mazlan Aliman, Ketua Penerangan PAS Johor yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bertanggungjawab kepada hal ehwal tanah dan pembangunan wilayah menggempur kubu tradisi UMNO di kawasan-kawasan Felda seluroh negara berjaya membuka mata pimpinan UMNO bahawa PAS bukan lagi bercakap kosong untuk menggantikan UMNO. Kedudukan UMNO dan BN mula tergugat setelah kubu tradisi mereka di kawasan-kawasan Felda berjaya dipecahkan.

Di Pahang pula, kedudukan Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang lagi Naib Presiden PAS yang dipertanggungjawabkan memimpin jentera PAS Pahang menambah 2 kerusi DUN PAS (Beserah dan Kuala Semantan)  bagi menggantikan UMNO di negeri ini perlu dilipatgandakan lagi kerana sebelyum ini PAS pernah memperolehi 6 kerusi di DUN Pahang selepas pilihanraya umum 1999 yang lepas.

Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, peluang PAS untuk menggantikan UMNO di negeri Sembilan, satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih ini masih jauh lagi setalah PAS  berjaya bertapak di negeri ini selepas memenangi DUN Paroi pada pilihanraya umum 2008 yang lepas.

Melaka menjadi satu-satunya negeri yang PAS belum pernah menang lagi dalam pilihanraya tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil Melayu Melaka juga berubah menyokong PAS selepas ini.

Manakala di Pulau Pinang, PAS telah lama mengagntikan UMNO di Permatang Pasir tetapi gagal berkembang kerana 11 lagi kerusi DUN yang dikuasai oleh UMNO di Pulau Piang. Begitu juga di Perlis, PAS telah lama bertapak di DUN Santan tetapi masih gagal menggantikan UMNO di Perlis.

PAS dan UMNO, Silih Berganti

Dua buah negeri, yakni Kelantan dan Terengganu yang menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu di Semenanjong di mana UMNO dan PAS silih berganti menguasai kekuasaan politik di sini.

Di Kelantan, setelah PAS memerintah selama 18 tahun sejak tahun 1959 ianya berjaya ditumbangkan oleh UMNO pada tahun 1978 selepas kerajaan PAS di’mageran’kan. Begitu juga selama 12 tahun  orang Melayu Kelantan memberikan harapan kepada UMNO sehingga tahun 1990 juga tidak Berjaya.

Sejak 20 tahun lalu, orang Melayu memberikan harapan kepada PAS untuk menguasai semula kekuasaan politik Melayu di Malaysia dengan menjadikan Kelantan pangkalan. Sejak itu, berlaku beberapa kali kebangkitan rakyat untuk membuat perubahan tetapi tidak berlaku secara menyeluroh.

Di Terengganu, selepas kerajaan PAS yang menang dalam tahun 1959 di negeri ini ditumbangkan dalam satu undi tidak percaya pada tahun 1961.Sejak itu, PAS mengambil masa 38 tahun untuk muncul semula menggantikan UMNO memerintah kerajaan Terengganu pada tahun 1999.

Kerajaan kedua PAS Terengganu yang dibina pada tahun 1999 hanya sempat bertahan selama sepenggal sahaja dan berkubur semula setelah kalah pada pilihanraya umum 2004. Sejak itu PAS sentiasa memasang impian untuk sekali lagi berkuasa di negeri Terengganu setiap kali pilihanraya umum diadakan.

Saya kira, satu seminar khas berhubung PAS Ganti UMNO perlu diadakan dengan beberapa  tindakan berstrategi dan bersungguh-sungguh bagi menyakinkan Melayu terutama di Pantai Barat perlu dilakukan disamping tidak meninggalkan harapan baru yang diberikan oleh orang-orang bukan Melayu kepada PAS.


http://kalamperantau.wordpress.com   

Buku Mutiara Kata Nik Aziz dilancar

KOTA BHARU, 20 Ogos: Dalam usaha menyebar luaskan pemikiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena sambutan 20 tahun PAS memerintah Kelantan pada Oktober 2010 di samping mempertingkatkan perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) telah berjaya menerbitkan buku Himpunan 110 Mutiara Kata Nik Aziz Sepanjang 2010.

Buku berdasarkan petikan kata-kata hikmat Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan itu disempurnakan pelancarannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Dr Mohd Fadzli Hassan di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Ketua Penerangan DPPNK, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata dengan penerbitan bukut tersebut diharap mampu memberi nilai tambah dalam memperteguhkan akidah dan keyakinan ahli dan penyokong PAS umumnya selain memperluaskan penyebaran pemikiran terkini Tuk Guru Nik Aziz yang menjadi ‘ikon’ kepada Pakatan Rakyat.

“Buku itu juga membentangkan isu terkini Tuk Guru mengenai dakwah Islamiah khususnya terhadap non-muslim, dan dalam masa yang sama ‘mempersiapkan’ Pakatan Rakyat untuk menduduki Putrajaya.

“Dalam buku tersebut, pembaca dapat meneliti perkembangan pemikiran Tuk Guru selepas 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, bahkan selepas tempoh itu kita dapat merasai apa yang Tuk Guru sendiri mahu mewariskan kepada rakyat di negeri ini khasnya dan umat Islam amnya,” katanya yang juga penyusun buku tersebut.

Buku setebal 126 halaman dengan cetakan edisi pertama sebanyak 4,000 unit dan dijual dengan harga RM10 sebuah itu sudah terjual 600 unit pada majlis  pelancaran pagi tadi.
Pada majlis yang sama turut dilancarkan buku Program Penghayatan Solat dan Tadarus Al-Quran Pelajar Baru Pasti.

Hadir sama Ketua DPPNK, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang.

harakahdaily

Mereka Bangun Tinggalkan Masjid Bila Dibaca Ayat Qisas Dlm Khutbah



"Sekitar tahun 2001-2002, saya berkhutbah Jumaat pada bulan Ramadhan di sebuah masjid di daerah Kemaman. Ketika itu Terengganu di bawah kerajaan PAS baharu sahaja mewartakan satu peruntukan undang-undang iaitu meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang-undang tubuh negeri Terengganu. Ia diperkenankan oleh as-Sultan Mizan (moga Allah sentiasa memelihara Tuanku dan Sultanah).

Dari atas mimbar saya melihat beberapa wajah makmum yang seperti ada sesuatu di dalam diri mereka. Saya belum berkhutbah ketika itu. Ketika mula berkhutbah kemudiannya, saya membacakan firman Allah tentang kewajipan puasa: “Wahai orang beriman! Difardhukan ke atas kamu sebagaimana difardhukan puasa itu kepada umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (183: alBaqarah).

Saya juga membacakan ayat di dalam mushaf pada mukasurat sebelumnya tentang hukum Qisas. “Wahai orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu qisas (pembalasan setimpal) dalam jenayah pembunuhan.

khutbah Jumaat 10 Ramadhan 1431H/20.8.2010 (6)

Saya hubungkaitkan antara 2 ayat tersebut, lalu saya berkata: ‘Kedua-dua ayat diseru kepada orang beriman. Kedua-duanya disebut kutiba iaitu difardhukan. Puasa berkait dengan ibadat. Qisas adalah salah satu hukum berkait jenayah selain hudud dan takzir. Puasa di mana sahaja boleh dilakukan tapi Qisas perlu kepada sistem pemerintahan dan undang-undang yang menaunginya.’

Tiba-tiba beberapa orang makmum bangun dan meninggalkan masjid. Ke mana mereka pergi? Sakit perut? Bukan. Apabila ditanya kepada makmum lain selepas solat Jumaat, mereka rupanya keluar terus dari masjid tanpa solat Jumaat. Mereka sakit dalam hati. Iman mereka sakit sebenarnya. Benarlah Allah yang menyebut, maksudnya: “Dalam hati mereka ada penyakit. Lalu Allah tambah penyakit kepada mereka.”

Saya sengaja membacakan ayat tentang kewajipan puasa dan kewajipan melaksanakan hukum qisas itu di atas mimbar ketika berkhutbah di masjid itu dalam bulan Ramadhan dengan tujuan menyelamatkan aqidah para jemaah dari kesesatan sekularisme hasil tanaman UMNO/BN selama puluhan tahun. Bukan bermaksud menghalau mereka keluar dari masjid. Tapi itulah yang berlaku. Aqidah sesat UMNO/BN (ada jawapan untuk ini wahai ulama muda UMNO?) ditanam begitu kuat dan kukuh dalam diri rakyat sehingga mereka tidak boleh menerima Islam secara menyeluruh. Benar kata-kata: ‘Mereka boleh terima hukum puasa, tapi tidak boleh menerima hukum hudud dan qisas.’

Apa salah saya membacakan ayat-ayat itu? Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal Islam yang mesti ditegakkan. Ketika diberi amanah memerintah Terengganu, PAS Terengganu telah melaksanakan satu perkara asas besar iaitu meletakkan asas pemerintahan undang-undang negeri berpandukan wahyu. Justeru itu saya mengingatkan makmum tentang perkara ini.

Ketika itu kes buang bayi tidak sekerap sekarang. Ketika artikel ini ditulis kes buang bayi hampir saban hari dilaporkan. Kerajaan yang memerintah seperti hilang punca mencari penyelesaian yang entah bila akan ada kesudahannya ini.

Apakah apabila al-Quran disusun demikian rupa menyebut tentang hukum Qisas sebelum beberapa ayat tentang hukum puasa Ramadhan, ia dibuat saja-saja? Maha Suci Allah dari bermain-main dan Allah Yang Maha Mengetahui tentang susunannya.

Tranungkite
Related Posts with Thumbnails