Saturday, June 5, 2010

Lagi NGO Melayu bantah ‘halalkan’ judi sukan

 
Kepimpinan Pertubuhan Anak Melayu Selangor Daruk Ehsan Wilayah Persekutuan dengan replika bola membantah keputusan melesenkan judi sukan di Kuala Lumpur pagi tadi.
 
KUALA LUMPUR, 5 Jun — Tekanan agar kerajaan pusat menarik balik lesen judi bola sepak kelihatan meningkat dengan satu lagi badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menentang keputusan menghalalkan pertaruhan aktiviti sukan.

Pertubuhan Anak Melayu Selangor Daruk Ehsan Wilayah Persekutuan yang mendakwa mempunyai 3,000 ahli di ibu negara mengumumkan protesnya pagi ini.

Pendirian itu dibuat kira-kira 3 jam sebelum Pemuda PAS bersama lebih 20 NGO termasuk sayap muda DAP bersiap sedia untuk melancarkan Gerakan Rakyat Membantah Judi di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo di sini.

“Kami akan menyertai Gerakan Rakyat Membantah Judi secara tidak rasmi, apa yang baik untuk rakyat kami akan sokong...,” kata Naib Yang Dipertuanya Mohd Zaini Anwar pada sidang media di sini pagi ini.
Terdahulu dalam teks yang dibacakan oleh Exconya, Mohamad Yusoff Yahya, Pertubuhan Anak Melayu Selangor Daruk Ehsan Wilayah Persekutuan merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menarik balik keputusan pengeluaran lesen terbabit dengan segera bagi menghindari kepincangan daripada terus berlaku dalam masyarakat.
“Hanya sumber pendapatan dan perolehan rezeki yang halal sahaja yang dapat memberkati urusan pentadbiran negara, apatah lagi Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara Islam contoh yang menjadi hab perdahangan halal dunia,” katanya.
Pertubuhan itu menambah, pihaknya mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya pemberian lesen judi bola sepak atau apa jua bentuk lesen judi oleh kerajaan kepada mana-mana syarikat termasuk Ascot Sports di bawah Kumpulan Berjaya daripada meneruskan aktiviti perjudian.

“Pertikaiannya di sini bukannya soal sama ada kegiatan judi haram yang berleluasa secara haram ini sukar dikawal atau tidak dapat dibendung tetapi soal kelemahan dalam aspek penguatkuasaannya... sama ada kita benar-benar mahu membanteras usaha tersebut atau sebaliknya,” kata pertubuhan itu.
Pada sidang medianya barisan kepimpinan pertubuhan itu membawa dua replika bola yang dihiasi dengan imej aktiviti perjudian dan juga perkataan APCO yang dirujuk kepada isu firma khidmat runding APCO Worldwide.

“Sudah cukuplah pemberian pelbagai bentuk lesen judi seumpama ini diberikan kepada operator di kelab-kelab eksklusif seperti judi mesin slot, judi lumba kuda di merata tempat termasuklah kasino bertaraf dunia di pusat peranginan terkemuka di Banjaran Titiwangsa sehinggalah di atas kapal mewah yang saban hari berulang alik di sepanjang perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan,” katanya lagi.

>>MI

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails