Saturday, September 25, 2010

Tiga Insiden Keberkatan Doa Perjalanan



"Sebagai berkongsi iman dan pengalaman serta mempromosi doa perjalanan, maka aku hamparkan di halaman ini tiga insiden yang pernah aku alami. Pertama, aku membaca doa perjalanan dan terserempak dengan babi melintas jalan. Kedua, aku tak pasti sama ada aku baca doa atau tidak tetapi nyaris melanggar dua ekor ayam yang berkejaran di atas jalan. Ketiga, aku tidak membaca doa lalu melanggar anak sendiri. Ngeri bunyinya cerita yang ketiga ini.

Sebenarnya telah menjadi budaya aku sejak bertahun-tahun dahulu, aku akan membaca doa perjalanan ketika setiap kali aku memandu kenderaan. Aku istiqamah membaca doa perjalanan selepas menginsafi bahawa aku selamat di jalan raya, bukan kerana aku cekap memandu, bukan kerana aku jenis memandu ala-kura-kura, bukan juga kerana elok dan lebarnya jalan raya. Aku selamat ketika di jalan raya adalah kerana Allah mengizinkan dan memakbulkan doaku. 

Betapa ramai orang mengalami kemalangan bukan kerana kelemahan dan kecuaian diri sendiri. Sebaliknya sebahagian mangsa kecelakaan jalan raya ialah disebabkan kesilapan, kecuaian pemandu lain. Walau bagaimana cekap sekalipun kita, faktor kecuaian orang lain yang memotong dan terbabas tidak mampu menyelamatkan pemandu yang berpengalaman. 

Cerita pertama tadi ialah seekor babi hutan cuba melintas jalan dalam keadaan meluru ke arah kereta aku. Berdasarkan jarak dan kelajuan kenderaan dan larian babi yang keluar dari semak dalam keadaan berlari-lari, aku amat yakin sama ada aku akan melanggar babi itu atau babi itu melanggar kereta aku. Perangai babi ialah haiwan ini tidak akan berhenti atau buat pusingan-U apabila berlari membabi buta . Entah macam mana, aku yang terkejut terus mengelak sedikit dengan jangkaan muncung babi itu hanya akan bergesel dengan body kereta aku. 

Alhamdulillah aku selamat. Aku tengok melalui cermin belakang. Tiada babi itu. Tidak juga terlanggar oleh kenderaan di belakang aku. Mungkin babi itu membrek (?) atau buat pusingan-U. Aku naik hairan walaupun sebenarnya aku naik kereta ( maaf, lawak). Aku pun teringat doa yang aku baca semasa bertolak dari rumah tadi.

Cerita kedua, aku tak pasti sama ada aku membaca doa atau tidak ketika bertolak dari rumah. Baru berjarak  setengah kilometer dari rumah aku, tiba-tiba di jalan kampung dua ekor ayam berkejar-kejaran sambil melintas jalan. Jarak antara dua ekor itu tak sampai satu meter. Aku gelabah dan tak tahu nak memulas stering ke kiri atau ke kanan dalam keadaan laju lebih kurang 70km/jam. Aku redah juga dengan mengagak tayar keretaku tidak melanggar walau seekor ayam pun. Ya, alhamdulillah selamat. Seekor ayam betul-betul di bawah kereta aku dan seekor lagi sempat brek. Bukan sahaja aku yang mengucap syukur, dua-dua ekor ayam itu juga mengucap syukur kepada Allah.

Cerita ketiga amat ngeri sehingga aku masih terbayang-bayang hingga hari ini. Apabila teringat akan peristiwa itu, aku rasa amat ngeri sekali. Apa tidaknya, aku melanggar anak aku sendiri yang berumur 6 tahun. Berlaku waktu tengahari. Aku tergesa-gesa mengundurkan kereta untuk keluar tanpa teringat membaca doa. Tiba-tiba tak sampai semeter aku mengundur, aku terdengar suara anak aku bertempik betul-betul di bawah kereta aku. 

Oh alangkah terperanjatnya aku sambil diselubungi panik. Perasaan aku ketika itu tidak akan kalian dapat rasai melainkan insiden itu turut kalian alami. Aku segera membrek. Gerun akan nasib yang menimpa anakku di bawah kereta hampir melonglaikan pergerakanku. Aku keluar dari kereta lalu menjenguk ke bawah. Ya, anakku menangis sambil mengensut-ensut keluar dari bawah kereta. Semangatku kembali pulih apabila seluruh badan dan anggotanya keluar dari bawah kereta dalam keadaan selamat. Cuma lengan dan tengkuknya ada sedikit calar. 

Aku tak dapat bayangkan perasaan mujurku hanya Allah yang tahu. Kalau tidak, sudah pasti  aku akan termasuk dalam kategori pemandu yang melanggar anak sendiri, nauzubillah. Terjadinya begitu kerana anakku yang belum matang itu keletihan bermain di luar rumah. Dia berehat di belakang kereta yang agak teduh lalu tertidur. Ketika aku membuka pintu kereta, aku memang tak nampak dia terbaring di bahagian belakang kereta. 

Apabila aku mengundurkan kereta sejarak semester, anakku betul-betul berada di tengah-tengah bahagian bawah kereta dengan kepalanya sudah hampir dengan tayar depan keretaku. Boleh kalian bayangkan nasibnya. Aku bayangkan sama ada dia mati atau cedera parah, patah tangan kakinya atau bercucuran darah. Tetapi syukur kerana Allah selamatkannya dan menyelamatkan aku daripada satu memori yang mungkin akan menghantui aku seumur hidup.

Aku cuba mencari jawapan mengapa aku dan anakku terselamat sedangkan aku tidak membaca doa perjalanan pada hari itu. Aku temui jawapannya hasil pertunjuk dari Tuhanku. 

Pertunjuknya ialah jika sesuatu amalan mulia itu telah sebati dan menjadi budaya kita, maka apabila kita lalai dan cuai sekali-sekala ( sifat manusia biasa) Allah masih menzahirkan kehebatan-Nya dengan menjadikan doa kita berkat pada sepanjang masa.

Sebenarnya, aku bukan sahaja membaca doa perjalanan ketika mula memandu, malah kalau aku lupa, di tengah perjalanan ( bukan di tengah jalan kerana di tengah jalan bukan tempat orang baca doa, maaf lawak lagi) atau hampir sampai ke destinasi pun aku akan membaca doa kalau aku teringat ketika itu. Demikian mesranya aku dengan doa. 

Kesimpulannya aku perturunkan pengalaman ini kerana bertujuan ingin memberi apresiasi dan mempromosikan firman Tuhanku dan sabda junjunganku yang mengajar kita berdoa melalui firman-Nya dan sabda kekasih-Nya. Ambillah pengajaran dari pengalamanku ini.

Tranungkite

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails