Friday, October 22, 2010

Malaysia bukan harta pusaka Umno BN

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Datuk Seri Najib Razak perlu sedar bahawa Malaysia bukan harta pusaka Umno BN yang telah diwasiatkan melalui Amanah Raya, tetapi ia adalah hak rakyat untuk menentukan kepimpinan di negara ini melalui pilihan raya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan Najib selaku Presiden Umno yang hendak mempertahankan kemenangan Umno BN mestilah dengan cara demokrasi, bukan dengan bermain di padang yang tidak sama dan mengubah tiang gol.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib di perasmian persidangan agung Umno di PWTC semalam, yang menyebut: Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan! membayangkan mimpi ngeri pemimpin Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam pilhan raya akan datang.

“Mereka membayangkan apa akan terjadi kepada rumah banglo mewah mereka, kereta mewah mereka dan perniagaan mereka jika kerajaan BN jatuh.

“Sebenarnya mereka bukan takut rakyat tidak boleh makan, bukan takut hak Melayu akan hilang. Kerana selama ini pun mereka tidak pedulikan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, banyak perwakilan Umno telah membangkitkan bagaiamana pemimpin mereka yang tidak memperdulikan rakyat selama ini di mana turun berjumpa rakyat hanya ketika hendak pilihan raya.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mengharapakan supaya pemimpin Umno belajar menjadi orang kalah, kerana dalam negara demokrasi ada masa turun naik.

PAS, tegasnya hendak tahu juga apa maksud ucapan Najib “walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”.

“Apakah kalau BN tidak mendapat suara majoriti adakah mereka tidak mahu menyerah kuasa juga? Demokrasi apakah ini?” soalnya.

Justeru, beliau menyeru pemimpin Umno supaya belajarlah daripada PAS yang pandai menghormati demokrasi di negara ini.

Katanya, PAS pernah memerintah Kelantan pada tahun 1959 , tapi tewas pada tahun 1978 walaupun dengan taktik undang-undang darurat.

Namun, jelasnya PAS menyerahkan kuasa kepada Umno, kemudian kembali memerintah pada tahun 1990 hingga kini.

PAS juga, ujarnya pernah menang 1959 dan kalah di Terengganu pada tahun 1961 melalui taktik kotor.

Katanya, kemudian menang pada tahun 1999 dan tewas pada tahun 2004.

“Walaupun pada ketika itu emosi penyokong PAS tidak boleh menerima kekalahan ini, namun kebijaksanaan pemimpin PAS telah berjaya menenangkan rakyat supaya menghormati suara rakyat,” jelasnya.

Begitu juga, tambahnya dengan peristiwa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak walaupun dengan cara tidak demokratik, namun PAS dan Pakatan Rakyat terus bersabar dan akur dengan keputusan itu.


harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails