Monday, November 15, 2010

Kelantan tumpu program ekonomi 3 negara


KOTA BHARU, 16 Nov: Kelantan akan menumpukan program ekonomi dengan tiga buah negara dunia yang kini sedang meningkat prestasi ekonominya, iaitu China, India dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pemegang ekonomi dunia sekarang bukan Amerika atau Jepun, sebaliknya tiga buah negara terbabit.

“Kelantan akan mewujudkan hubungan dua hala antara negara-negara terbabit khususnya sempena program Ekspo Cheng Ho 2010, yang akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan kursus sukarelawan ekspo Cheng Ho siri dua yang diadakan di Perdana Resort, dekat sini, semalam.

Lebih 400 orang lagi peserta sukarelawan mengikuti kursus selama tiga hari dua malam, di mana 200 orang daripadanya sukarelawan berbangsa Cina.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan membina Cheng Ho City sebagai medan usahawan untuk para peniaga peringkat antarabangsa memasarkan produk halal mereka di situ.

Menurutnya, projek yang akan diadakan di Kampung Bukit Apam, Machang, menelan belanja jutaan ringgit di atas tanah seluas 500 ekar.

“Projek ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.

Terdahulu Husam melepaskan kembara motosikal yang terdiri dari 50 orang peserta Pasir Mas Superbike yang akan menjelajah Kelantan bagi mempromosikan Ekspo Cheng Ho.

harakah

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails