Tuesday, November 30, 2010

Usul Potong Gaji Menteri Kerja Raya

Pada mulanya saya ingin menyatakan bahawa usul ini dibawa bukan atas sebab-sebab personaliti atau peribadi yang menjadi Menteri Kerja Raya. Saya memahami bahawa sebahagian besar dari masalah yang menghantui Menteri Kerja Raya hari ini adalah masalah yang diwarisinya dari semenjak sebelum beliau memegang Kementerian berkenaan. Oleh itu, personaliti yang menjawat jawatan Menteri Kerja Raya bukan isunya. Isunya adalah budaya kerja yang telah diasaskan dari dahulu lagi yang tidak kelihatan noktah padanya dan tidak nampak ianya akan dihentikan atau mampu dihentikan oleh pentadbiran sediada.

Budaya kerja seperti memberi kontrak-kontrak yang beratus juta ringgit kepada syarikat OKU (Orang Kuat UMNO) secara rundingan terus jelas dipertahankan dan diteruskan walaupun merugikan rakyat dan Negara. Kesan dari budaya ini adalah kos yang tinggi dan qualiti kerja yang rendah.

Sebagai salah satu contoh, kontrak pembinaan Istana Negara yang bernilai pada asalnya RM 650 Juta diberikan kepada syarikat Maya Maju Malaysia Sendirian Berhad yang merupakan syarikat ‘Dormant’ yang tidak berdaftar dengan CIDB dan tidak juga mempunyai Lesen PKK. Maknanya syarikat tersebut tidak berniaga, tidak bergiat sama sekali dan oleh itu tiada trak-rekod dan tiada kepakaran. Namun tetap ditawarkan kontrak tersebut dan lebih aneh lagi, tawaran diberi pada Oktober 2007 sedangkan syarikat tersebut hanya berdaftar pada Ogos 2008. Mungkin oleh kerana ianya merupakan syarikat OKU, maka nilai kontrak dinaikkan dari RM 394.8 Juta seperti cadangan asal dari syarikat tersebut sendiri, kepada RM 650 Juta selepas rundingan! Biasanya dirunding supaya harga turun tetapi di sini, ianya dirunding supaya harga naik. Tidak cukup dengan itu, nilai kontraknya terus dinaikkan.

Begitu juga dengan kontrak pembinaan Institut Kanser Negara. Ianya satu kontrak yang pada asalnya disebut bernilai RM 340 Juta pada awal 2007 tetapi pada Mac 2009 disebutkan pula bahawa nilai kontrak untuk pembinaannya telah melonjak menjadi RM 700 Juta. Seperti biasa, kontrak ditawarkan secara rundingan terus dan ianya diserahkan kepada Syarikat Kiara Teratai Sdn. Bhd. Syarikat ini mempunyai modal berbayar sebanyak RM 1 Juta dan kerugian tercatat sebanyak RM 1.5 Juta. Adakah mungkin sebuah syarikat yang telah, berdasarkan maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menjadi ‘insolvent’ atau tidak berduit sedemikian rupa mampu melaksanakan kerja sebegini? Sekali lagi Syarikat yang dilantik tiada track-record dan tiada kepakaran untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Berterusannya amalan kontrak rundingan terus bererti Menteri Kerja Raya telah gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang Menteri yang bertanggung jawab untuk menentukan wang rakyat digunakan dengan cermat, mendapat nilai sebenar dan yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibayar, demi kepentingan rakyat Malaysia. Ini merupakan kegagalannya yang pertama.

Kontrak rundingan terus ini juga menghasilkan kebuntuan apabila ianya tidak dilaksanakan dengan baik oleh kontraktor yang dilantik. Kontraktor dilantik atas dasar kenalan dan sokongan politik, maka apabila kontraktor berkenaan gagal, tindakan dilengah-lengahkan sehingga akhirnya projek terbengkalai dan tempoh kontrak lari jauh dari apa yang dirancangkan. Sekiranya kontrak berkenaan melibatkan perkhidmatan tertentu untuk rakyat, maka akhirnya perkhidmatan berkenaan ditangguhkan dan rakyat sekali lagi menjadi mangsa.

Kisah hospital Shah Alam merupakan satu contoh yang jelas di mana perkhidmatan kesihatan yang merupakan keperluan warga Shah Alam dinafikan buat sekian lamanya. Kalau dalam bidang perundangan disebut, “Justice delayed is justice denied”. Begitu juga dengan keperluan asasi seperti perkhidmatan kesihatan di mana ungkapan “Rawatan yang dilewatkan adalah rawatan yang dinafikan” boleh digunapakai. Projek pembinaan hospital Shah Alam jelas tergendala dan sudah 6 bulan kerja-kerja di tapak telah berhenti dan hingga ke hari ini, masih tidak jelas bila ianya akan dimulakan kembali. Dikatakan ianya akan ditender kembali, tetapi hingga hari ini, saya difahamkan, tiada dokumen tender yang telah disiapkan kerana kontrak ini merupakan kontrak “design and build” yang diserahkan tanpa adanya dokumen tender dan BQ pada asalnya.

Yang menyedihkan, persoalan perjalanan projek pembinaan hospital ini telah disebutkan berkali-kali semenjak bulan Februari tahun ini namun walaupun dengan teguran dan peringatan yang berulang, pihak Menteri tetap gagal menanganinya dengan baik demi menjamin projek tersebut disiapkan tepat pada waktunya dan mengikut nilai kontrak yang ditetapkan.

Sekiranya projek ini dipantau dengan baik, pihak Kementerian boleh menjangka apa yang bakal berlaku dan boleh bertindak untuk menyelamatkannya sebelum ianya tergendala sebegini. Wakil Jabatan Kerja Raya yang diletakkan di tapak sebagai ‘Clerk of works’ dan juga Jurutera yang ditugaskan boleh menilai pihak mana yang bekerja dan pihak mana yang hanya memakan komisyen. Mereka boleh mengenal pasti sebab-sebab kegagalan projek tersebut dan mengesyorkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan projek berkenaan.

Dalam keadaan-keadaan sebegini, pihak Kementerian sepatutnya mengambil-alih projek berkenaan dan melaksanakannya di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya. Jabatan Kerja Raya sudah pasti mempunyai Jurutera-jurutera yang mahir dalam pengurusan projek dan bidang kejuruteraan. Sub-kontraktor yang ‘perform’ boleh dikekalkan dan yang tidak, digantikan. Pendekatan sebegini pasti lebih mampu menjamin pembinaan tersebut dapat diselesaikan tanpa kelewatan atau kelewatan yang minima dan perbelanjaan yang menepati nilai kontrak asal berbanding kaedah memanggil tender baru.

Ini menjadi lebih releven apabila diberitahu bahawa sub-kontrak utama bagi pembinaan Hospital Shah Alam, ia itu GM Health telah menawarkan diskaun sebanyak RM 3 Juta dan tempoh masa 18 bulan untuk menyerahkan projek berkenaan. Malangnya pihak Kementerian memutuskan untuk memanggil tender baru tanpa mengindahkan hakikat bahawa cara sebegini akan menyebabkan projek semakin tergendala dan kos semakin meningkat! Sedangkan tujuan memanggil tender terbuka adalah untuk mendapatkan kos terendah dan tempoh masa yang terpendek. Yang penting adalah matlamat di sebalik proses dan bukan proses itu semata-mata. Ketidak mampuan Menteri memahami matlamat sebenar disebalik sesuatu proses sehingga sanggup mengutamakan proses dan mengorban matlamat adalah kegagalannya yang kedua.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan sebelum ini, masalah projek tergendala atau terbengkalai bukan satu perkara yang baru. Di Shah Alam sendiri ada satu lagi projek sakit ia itu projek pembinaan Special Materials Store bagi pihak PDRM. Ianya terbengkalai semenjak tahun 2008. Kontraktor dilantik, seterusnya ditamatkan dan hingga hari ini, tidak kedengaran apa yang ingin dilakukan dengan projek yang bernilai RM 140 Juta lebih ini. Parahnya masalah projek terbengkalai sehingga disebut bahawa kerajaan telah membentuk ‘Jawatankuasa Projek Sakit’. Ini adalah bukti betapa parah keadaannya hasil dari penganugerahan projek kepada yang tidak layak.

Sepatutnya dengan pengalaman yang sebegini banyak, kaedah menyelamat projek secara pantas dan berkesan sudah dikenal pasti. Kaedah memanggil tender terbuka sebelum tawaran dibuat boleh mengurangkan berlakunya projek yang gagal, namun kaedah menyelamat projek setelah ianya ditawarkan dan dilaksana tetapi terbengkalai perlu juga dikenal pasti oleh pihak Menteri. Dalam soal ini amat jelas bahawa Menteri telah gagal untuk mengenal pasti kaedah menyelamatkan projek secara berkesan yang akan meminimakan kelewatan dan perbelanjaan tambahan.

Dalam soal mutu kerja pula, amat jelas dengan berlakunya Stadium yang runtuh, jambatan yang runtuh dan sebagainya, ianya merupakan satu persoalan yang tidak dapat ditangani dengan baik oleh pihak Menteri. Saya percaya Ahli Dewan Rakyat tidak perlu diyakinkan akan kebenaran dakwaan ini. Kebocoran di Parlimen, setelah berbelanja berjuta-juta, adalah bukti yang tidak dapat disanggah oleh mana-mana pihak. Rendahnya kualiti dan mutu kerja merupakan kegagalan ketiga pihak Menteri Kerja Raya.

Di atas tiga kegagalan ini, saya mengusulkan supaya gaji Menteri Kerja Raya dipotong sebanyak RM 10. Dengan itu saya mohon mencadang. Sekian Terima kasih.

Berkaitan: Video Parlimen: Cut Salary of Works Minister

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails