Sunday, December 26, 2010

Gempar penemuan ubi badak gergasi


FELDA BUKIT BADING - Seorang warga emas, Zainab Awang Ngah, 66, tidak menyangka kesukaran menggali ubi kayu yang ditanam di hadapan rumah membawanya kepada penemuan ubi gergasi yang dikenal dengan nama ubi badak. Zainab berkata, ketika dia menggali ubi berkenaan, dia tidak pula terfikir apa-apa atau sesuatu yang pelik mengenainya.

“Makcik terus menggali tetapi mula merasai sesuatu yang tidak kena berikutan semakin digali saiznya semakin besar sehinggalah makcik melihat keseluruhan ubi itu yang saiznya sangat besar,” katanya yang menanam ubi sejak 40 tahun lalu.

Zainab berkata, penemuan itu bukan sahaja menggemparkan kerana saiznya yang besar dan lebar sehingga menjangkau kira-kira 60 sentimeter malah bentuknya juga seolah-olah menyerupai kepak rama-rama.


“Kini, rumah saya menjadi tumpuan jiran tetangga untuk melihat sendiri ubi badak gergasi berkenaan berikutan ia jarang ditemui.

“Saya tanam ubi itu tahun lalu dan lebih 40 tahun makcik menanam ubi ini kali pertama melihat ubi badak saiz luar biasa,” katanya, semalam.

Menurutnya, ubi yang ditanam biasanya akan dimakan sendiri atau diagihkan kepada sanak-saudara serta jiran tetangga.

“Namun, penemuan ubi badak bersaiz gergasi ini mengejutkan apatah lagi makcik melakukan kerja menggali seorang diri.

“Malah, makcik mengambil masa beberapa jam sebelum berjaya mengeluarkan keseluruhan isi ubi itu kerana berat," katanya.

Zainab berkata, dia juga terpaksa meminta bantuan anaknya, Munirah Zihni Husin, 24, untuk mengangkat ubi badak berkenaan walaupun ia terletak hanya beberapa meter dari rumah.

“Jika harapkan kudrat makcik, memang tidak berupaya melakukannya sendirian.

“Biasanya ubi badak hanya mempunyai besart 10 hingga 15 kilogram tetapi kali ini dianggarkan kira-kira 50 kilogram,” katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu, dia berhasrat meletakkannya di pekara-ngan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihatnya.

Selepas itu, dia bercadang mengagihkan ubi badak gergasi berkenaan kepada jiran tetangga dan sanak saudara supaya semuanya boleh menikmati rasa ubi badak gergasi itu.


Sinar harian edisi Terengganu


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails