Sunday, December 26, 2010

Kedah belum putus haramkan logo 1Malaysia


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri belum memutuskan untuk mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di Kedah seperti dilakukan PKR yang menerajui Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dilakukan oleh Kerajaan Negeri mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, idea untuk mengharamkan logo 1Malaysia tidak pernah difikirkan Kerajaan Negeri setakat ini.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum membuat sebarang pendirian mengenai pengharaman logo 1Malaysia di Kedah.

“Penggunaan logo 1Malaysia tidak menimbulkan masalah selagi ia menepati peraturan yang ditetapkan kerajaan tempatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di negeri itu, kerana didakwa melanggar undang-undang kecil kerajaan tempatan dan merupakan mesej politik Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan dibuat bersama Azizan mengenai isu itu.

“Kedah berbeza dengan Selangor dan Kerajaan Negeri tidak perlu mengikut tindakan yang diambil oleh Selangor.

“Tambahan pula, logo 1Malaysia bukanlah isu di negeri ini,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails