Sunday, December 26, 2010

Pembangunan pendidikan akan ditumpu di Pulau Tuba

Pembangunan Pulau Langkawi bukan hanya tertumpu di pulau besar sahaja tetapi akan dikembangkan ke pulau-pulau lain sekitarnya termasuk Pulau Tuba

Pembangunan Pulau Tuba tidak hanya difokuskan kepada pembinaan jambatan dan prasarana sahaja, tetapi juga terhadap sektor pendidikan.

Kerajaan yakin pembangunan pendidikan di Pulau Tuba akan berjaya melahirkan cerdik pandai jika diberi perhatian sewajarnya oleh ibu bapa dan kerajaan.

“Saya berharap tahun-tahun hadapan, ADUN atau ADUN angkat akan memilih dari kalangan pelajar yang cemerlang untuk diberi sumbangan sebagai galakan kepada pelajar-pelajar di Pulau Tuba melanjutkan pelajaran,” kata YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berucap sempena lawatan kerja beliau.

Sempena lawatan kerja tersebut, YAB Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada semua pelajar sekolah rendah di Pulau Tuba. Penerima sumbangan terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Tuba yang berjumlah 300 orang.

“Kelemahan kerajaan dahulu kerana tidak menekankan pembangunan pulau-pulau sekitar pulau besar, sekarang Pulau Langkawi dah maju tetapi pulau-pulau sekitarnya termasuk Pulau Tuba tercicir. Sekarang Kerajaan Negeri akan memfokuskan pembangunan yang sesuai untuk Pulau Tuba.

“Pembangunan yang nak kita bawa adalah pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada penduduk Pulau Tuba sendiri. Pembangunan tersebut memerlukan juga pembangunan rakyat yang berdikari, yang cerdik dan yang akan menjaga Pulau Tuba.

“Kerajaan tidak mahu pembangunan yang bakal dibuat akan dikuasai oleh orang luar kerana penduduk Pulau Tuba berhijrah ke tempat lain, kita mahu rakyat Pulau Tuba sendiri yang menikmati pembangunan ini,” kata Ustaz Azizan.

Antara pembangunan yang di perlukan adalah Balai Bomba, Klinik Kesihatan, Balai Polis, bekalan eletrik dan air. Selain dari itu pembangunan sebuah jambatan turut menjadi perhatian penduduk Pulau Tuba.

YAB Ustaz Azizan memaklumkan bahawa semua permintaan penduduk itu akan dipertimbangkan oleh Kementerian dan Jabatan terbabit termasuk penubuhan pasukan Bomba dan penambahan anggota Polis di Pulau Tuba.

Pembinaan jambatan turut diutarakan kepada YAB Menteri Besar. Walaubagimana pun, Ustaz Azizan menegaskan Kerajaan tidak berminat untuk membina jambatan penghubung Pulau Tuba dengan Pulau Langkawi memandangkan tarikan pelancung di Langkawi adalah pengangkutan air dan penjelajahan dengan bot.

“Jika sudah ada jambatan menghubung Pulau Tuba dengan Pulau Besar (Langkawi), tarikan pelancong menaiki bot akan berkurangan dan ini merupakan satu kerugian kepada sector pelancungan Langkawi,” Katanya.

Turut hadir dalam lawatan kerja sehari itu ialah para Exco Kerajaan Negeri terdiri dari YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad, YB Dr Ismail Salleh, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, YB S Manikumar, YB Tan Chow Kang, YB Lim Soo Nee, Setiausha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Seraja Setia Rasli Basir, Pegawai Kewangan Negeri Kedah Dato’ Mohd Puat, CEO Sada Dato’ Adzmi Din, Pengurus LADA,Pegawai Daerah Langkawi dan ketua-ketua jabatan Daerah Langkawi.

UTARA ONLINE

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails