Tuesday, May 25, 2010

Inspektor Polis Ditahan Kerana Disyaki Terima Rasuah RM6,000


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Seorang inspektor polis, yang bertugas sebagai Pegawai Pendakwa di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM6,000 daripada seorang awam, semalam.

Pegawai berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 5.35 petang di perkarangan mahkamah kerana disyaki menerima wang rasuah itu bagi menyelesaikan satu kes dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1965.

Menurut kenyataan SPRM hari Selasa, pegawai itu, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, dibebaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin pagi tadi.

SPRM berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails