Thursday, May 20, 2010

SMM sambut baik pendirian MCA pertahan 4 pelajar UKM



KUALA LUMPUR, 21 Mei — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyambut baik pendirian MCA dalam mempertahankan empat pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini berhadapan dengan tindakan disiplin atas alasan menyertai kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

SMM menyifatkan pendirian diambil oleh Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu untuk sama-sama mempertahankan hak dan kebebasan mahasiswa sebagai perkembangan positif demi membela pelajar institusi pengajian tinggi.

“SMM mengucapkan tahniah dan syabas atas keberanian beliau untuk menyatakan pendiriannya dan mengambil posisi yang jelas dalam isu ini.

“Ia merupakan respons positif yang diambil beliau untuk bersama SMM memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa,” demikian menurut kenyataan pertubuhan pelajar ini.

Empat pelajar jurusan sains politik UKM ini kini berhadapan dengan kemungkinan digantung pengajian kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya dengan menyatakan sokongan kepada parti-parti politik yang bertanding ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.
Mereka ditahan ketika berada dalam kenderaan dipandu aktivis Parti Keadilan Rakyat,
komponen Pakatan Rakyat bersama sejumlah bahan kempen parti itu.

Pelajar-pelajar tahun kedua itu dikehendaki menghadiri perbicaraan di Mahkamah UKM pada 2 dan 3 Jun ini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Semalam Gan mengatakan untuk mempertahankan hak dan kebebasan mahasiswa yang telah dizalimi.

Menurut SMM, hak dan kebebasan akademik mahasiswa perlu dipertahankan untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik.

“Lebih penting lagi ialah tindakan kenyataan ini adalah untuk mempertahankan hak dan kebebasan akademik mahasiswa untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik.

“Ini kerana tanpa kebebasan akademik yang total, negara tidak akan sekali-kali mampu untuk melahirkan mahasiswa yang berprinsip juga mempunyai pemikiran yang luas untuk menjadi seorang negarawan.

“Hal ini turut sama akan menggelapkan masa depan negara apabila tidak mampu melahirkan pemimpin yang hebat di masa hadapan,” katanya.

SMM juga menggesa semua pihak untuk turut menyatakan pendirian yang jelas dalam isu ini.

malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails