Tuesday, May 25, 2010

Muhyiddin: Tuduhan anak Samy terhadap Umno biadap


















MUAR, 25 Mei — Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh S.Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya ketika ditanya mengenai tuduhan yang dibuat oleh Vell Paari terhadap Umno. Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Muhyiddin (gambar), yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan guru-guru daerah Muar dan Ledang di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.
Dalam komen kepada The Malaysian Insider hari ini, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh sambil menafikan ia menaja dan menyokong Gerakan Anti Samy Vellu mengingatkan MIC tidak sama sekali menyeret parti itu ke dalam kancah krisis kepimpinan yang dilalui sekarang.
“Jangan seret Umno dalam krisis MIC,” kata Rauf.

Rauf menegaskan, Umno tidak pernah terlibat dalam memihak mana-mana ahli atau pemimpin untuk mengeruhkan keadaan dengan menyatakan sokongan agar melakukan perkara menentang kepimpinan komponen BN.

Mengulas lanjut Muhyiddin juga meminta Samy Vellu supaya menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

“Samy Vellu boleh nasihatkan anaknya,” kata Timbalan Perdana Menteri dipetik Bernama.
Kata Muhyiddin, Vell Paari merupakan seseorang yang mempunyai kepentingan  dalam kemelut dalaman MIC kerana beliau merupakan anak kepada parti itu.

Apa pun, kata Muhyiddin, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah pun mengeluarkan kenyataan yang mahu melihat kemelut dalaman MIC itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam parti itu mestilah berdasarkan kepada dasar keadilan dan ketelusan.

“Sebagai pemimpin dalam mana-mana parti komponen BN, tidak kira mana parti sekalipun, sebarang permasalahan dalam parti mestilah diselesaikan secara adil dan saksama,” katanya.
Muhyiddin berkata sebarang usaha untuk menyelesaikan permasalahan dalam parti mestilah mengikut perlembagaan dan prosedur parti.

Samy Vellu telah memecat empat orang pemimpin dalam tempoh dua minggu ini termasuk dua anggota CWC semalam menggunakan kuasa sebagai presiden parti.

“Sebagaimana yang dilakukan oleh kita di dalam Umno, jika kita terpaksa bertindak memecat seseorang daripada parti, ia mestilah berdasarkan prosedur dan peraturan yang sedia ada dalam parti,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap parti komponen BN perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan segera supaya kedudukan BN yang semakin kukuh kini di bawah pentadbiran Najib dapat diteruskan.

>>malaysia insider

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails