Wednesday, May 26, 2010

Judi bola: PR Pahang minta kerajaan negeri bantah

KUANTAN, 27 Mei: Pakatan Rakyat Pahang hari ini mendesak kerajaan negeri  menyatakan sikap membantah kelulusan lesen judi sukan  sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010 kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam  dan menggugat keharmonian hidup rakyat keseluruhan di negeri dan di negara ini.

Memorandum empat muka surat telah diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Pakatan Rakyat negeri kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shamsuddin Nawawi di Wisma Negeri, di sini pagi ini.

Turut menyaksikan ialah Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Ramponusamy, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Suhaimi Md Saat dan Setiausaha Penerangan PAS negeri, Hashim Abdullah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob difahamkan tidak dapat hadir kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
 “Hujah yang diberikan oleh kerajaan BN dalam meluluskan lesen judi sukan ini dengan menggunakan kegagalan menghalang  kegiatan sindiket judi  sukan tanpa lesen, lalu dijadikan sebab untuk ‘dihalalkan’ dan dilesenkan adalah cara berfikir dan hujah paling bahaya dan  mengaibkan intelek rakyat  yang berpelajaran.

“Kita nak ingatkan kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara akhlak rakyat daripada dirosakkan oleh kegiatan judi yang dilesenkan sendiri oleh kerajaan.  Oleh yang demikian, kami daripada Pakatan Rakyat Pahang memohon kerjasama Menteri Besar menyatakan pendirian tegas membantah sebarang bentuk pemberian lesen judi dan mendesak supaya ia ditarik balik,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau dalam memorandum itu juga mahukan kerajaan Pahang menggunakan kuasa yang ada menggesa para ulama dan tokoh agama mendidik rakyat agar membenci judi  bagi membina masyarakat yang bermoral.

>>harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails