Tuesday, May 18, 2010

Lesen judi Piala Dunia: PAS anjur demo seluruh negara


KUALA LUMPUR, 19 Mei — PAS mahu mengambil langkah lebih serius membantah kelulusan lesen pertaruhan sempena kejohanan Piala Dunia 2010 dengan mengadakan perhimpunan membantah secara aman dan jelajah negara mulai Jumaat ini.

Kemuncak tindakan mereka itu ialah menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, kesemua Dewan Pemuda PAS negeri akan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kelulusan lesen perjudian oleh kerajaan Jumaat ini.

“Kita akan membuat perhimpunan ini secara serentak di seluruh negara pada 21 Mei ini yang akan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri masing-masing.

“Perhimpunan ini kita akan adakan di Masjid Negeri sebaik sahaja selesai solat Jumaat dan kita jangka 5,000 orang akan sertai perhimpunan ini di setiap negeri.

“Dalam perhimpunan ini kita akan bercakap mengenai kesan-kesan perjudian kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Semalam, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang mendesak kerajaan menarik balik lesen konsesi berbilion ringgit kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi mengendalikan pertaruhan judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 yang bermula pertengahan bulan depan.

JIM berharap kementerian prihatin dengan kesan yang telah, sedang
dan bakal timbul kepada rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah.

Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Dengan kelulusan tersebut, pertaruhan secara sah boleh dilalukan sebelum kejohanan Bola Sepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Afrika Selatan berlangsung mulai 11 Jun hingga 11 Julai depan.

Sayap Pemuda PAS itu juga akan menyerahkan memorandum kepada mufti-mufti di setiap negeri supaya isu tersebut akan dibawa ke Majlis Mufti Kebangsaan.

“Sepanjang Mei hingga Jun ini kita akan menyerahkan memorandum bantahan kepada semua mufti supaya isu ini boleh dibincangkan dalam Majlis Mufti Kebangsaan.

Kemuncaknya kita akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai depan di Istana Negara,” kata Nasrudin.

Beliau berkata intipati memorandum tersebut adalah mengenai bantahan kelulusan lesen perjudian yang diluluskan kerajaan.

“Dalam memorandum ini kita akan menjelaskan mengenai kemusnahan dan kerosakan yang bakal berlaku.

“Kita juga akan membuat penjelasan tentang implikasi judi kepada masyarakat, agama dan negara.

“Ini kerana kita mendapat maklumat bahawa lesen perjudian ini turut akan digunakan pada Liga Perdana Inggeris yang akan memulakan musim baru tidak lama lagi.

“Kita juga bimbang sekiranya ia turut akan melibatkan Liga Malaysia, ini yang amat merisaukan,” katanya.

Selain PAS, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut sama menyertai perhimpunan tersebut.

>>malaysia insider

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails