Tuesday, May 18, 2010

PRK SIBU : KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS



Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada rakyat di Parlimen Sibu, Sarawak yang telah melakukan perubahan dengan memilih Ahli Parlimen baru Pakatan Rakyat dari Democratic Action Party (DAP) dalam Pilihanraya Kecil P.212 Sibu pada 16 Mei 2010 lalu.


Perubahan ini menandakan bahawa rakyat Sibu telah berjaya mengekang politik projek dan rasuah yang ditabur oleh parti lawan dalam pilihanraya berkenaan. Kemenangan ini juga menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji serta ugutan dari jentera BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan. Serangan bertalu-talu tanpa henti oleh kepimpinan kerajaan BN ini, ditambah pula dengan wujudnya keraguan dalam undian pos telah juga berjaya dihadapi oleh seluruh jentera pilihanraya dari Pakatan Rakyat dengan cemerlang.

Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas PAS yang datang dari seluruh pelusuk negara, rakan-rakan dari PKR dan DAP yang telah mempermudahkan petugas dari PAS dan dalam masa yang sama telah menunjukkan semangat kerjasama yang tulin sehingga menyumbang kepada kemenangan ini.

Sesungguhnya PAS amat mengharapkan agar kemenangan ini akan menjadi pemangkin yang akan merubah lanskap politik tanahair ke arah perubahan yang lebih bermakna kepada seluruh rakyat di Malaysia.

Dato’ Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails